SIKAP degil sering merujuk keengganan menerima nasihat atau peringatan walaupun bukti dan pengalaman jelas menunjukkan risiko yang bakal dihadapi.
Dalam kehidupan seharian, kita kerap menyaksikan individu yang tetap berdegil meskipun amaran keselamatan dikeluarkan berulang kali. Ada yang mandi di pantai ketika ombak bergelora, mendaki gunung dalam musim monsun, mempercayai pakej umrah murah yang mencurigakan atau menyertai skim cepat kaya walaupun ramai telah menjadi mangsa.
Apabila musibah berlaku, barulah timbul penyesalan. Namun ketika itu, segalanya sudah terlambat. Kerugian wang, kecederaan, kehilangan harta malah nyawa menjadi harga yang terpaksa dibayar akibat keangkuhan mengabaikan panduan dan peraturan. Hakikatnya, setiap larangan dan garis panduan bukan bertujuan menyusahkan tetapi melindungi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Fenomena ini berkait rapat dengan sifat manusia yang gemar mencuba nasib. Ada yang merasakan malang hanya menimpa orang lain, bukan diri sendiri. Sikap ‘takkanlah jadi apa-apa’ inilah yang sering membawa padah. Mereka memilih untuk mempercayai gerak hati berbanding fakta, lalu terjebak dalam situasi yang sebenarnya boleh dielakkan.
Dalam aspek kewangan, penipuan pakej umrah murah dan skim cepat kaya terus berulang kerana masih ada yang mudah percaya. Janji manis pulangan segera sering menutup kewarasan, hingga wang simpanan bertahun-tahun lesap sekelip mata.
Menghadapi sikap degil ini memerlukan pendidikan berterusan, pendekatan berhemah dan penguatkuasaan yang tegas tetapi adil.
Teguran sopan, pendedahan kisah benar serta tindakan undang-undang yang jelas mampu menjadi peringatan bersama. Sikap berhati-hati bukan kelemahan, sebaliknya lambang kebijaksanaan.
Akhirnya, keberanian sebenar bukanlah mencabar risiko tanpa sebab tetapi kebijaksanaan menerima nasihat demi menjaga amanah nyawa dan kesejahteraan bersama. –UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










