WASHINGTON – Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengenakan sekatan terhadap tiga komander daripada Pasukan Sokongan Pantas (RSF) Sudan atas peranan mereka dalam kempen kejam semasa mengepung dan menawan bandar El Fasher.
Semua harta mereka yang berada di AS dibekukan dan mesti dilaporkan kepada Pejabat Kawalan Aset Asing, Jabatan Perbendaharaan AS (OFAC).
“Individu-individu ini terlibat dalam pengepungan El-Fasher oleh RSF selama 18 bulan dan penawanannya. RSF melakukan kempen pembunuhan etnik, penyeksaan, kebuluran dan keganasan seksual yang mengerikan,” kata OFAC.
Sebelum ini, RSF dan militia sekutunya telah melakukan kekejaman meluas, termasuk jenayah perang (dan) kemanusiaan serta pembunuhan beramai-ramai sejak perang saudara Sudan meletus pada April 2023, tambahnya.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menggesa RSF supaya bersetuju dengan gencatan senjata kemanusiaan segera.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan kempen keganasan dan pembunuhan tanpa sebab yang berterusan di Sudan,” katanya.
Beliau juga memberi amaran bahawa tanpa penamatan konflik dengan segera, Sudan berisiko mewujudkan keadaan untuk kumpulan pengganas berkembang.
Tindakan AS itu menyusul langkah serupa oleh United Kingdom pada Disember dan Kesatuan Eropah pada Januari lalu.
Sudan telah terperangkap dalam konflik berdarah antara tentera dan RSF sejak April 2023, mengorbankan puluhan ribu nyawa, memaksa 13 juta orang berpindah dan mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AGENSI










