Penguatkuasaan minyak masak subsidi perlu tegas

Penguatkuasaan minyak masak subsidi perlu tegas

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melarang bukan warganegara membeli minyak masak paket bersubsidi berkuat kuasa 1 Mac ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mewartakan peraturan yang melarang bukan warganegara membeli minyak masak paket bersubsidi berkuat kuasa 1 Mac, serta penggunaan imbasan MyKad untuk menyelaraskan pembelian. 

Langkah tepat pada masanya untuk memastikan subsidi kerajaan sampai kepada penerima yang dimaksudkan, terutamanya rakyat Malaysia berpendapatan rendah yang bergantung kepada barangan keperluan seperti minyak masak bersubsidi. 

Pengesahan digital di tempat jualan boleh membantu mengurangkan kebocoran, membendung penyalahgunaan dan meningkatkan ketelusan dalam sistem pengedaran. 

Selama bertahun-tahun, CAP menerima aduan yang peniaga tertentu enggan menjual minyak masak bersubsidi kepada rakyat Malaysia dengan alasan kekurangan stok, sambil menjualnya kepada warga asing pada harga melebihi harga ditetapkan. . 

Amalan sedemikian menafikan rakyat tempatan yang layak mendapat akses kepada barangan bersubsidi dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap program subsidi. 

CAP menekankan penguatkuasaan yang tegas dan konsisten adalah penting dan tindakan mesti diambil terhadap peniaga yang melanggar kawalan harga serta peraturan kelayakan. 

Pada masa  sama, perlindungan yang sewajarnya mestilah disediakan untuk melindungi data peribadi pengguna dan memastikan pelaksanaan yang lancar tanpa menyusahkan pembeli tulen. 

CAP kekal komited untuk menyokong langkah yang melindungi hak pengguna dan memastikan subsidi diagihkan secara adil untuk manfaat rakyat Malaysia. –UTUSAN

 

MOHIDEEN ABDUL KADER

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN