PIHAK kerajaan perlu memastikan kebebasan akademik wujud dalam negara kita. Dengan adanya kebebasan akademik ini, banyak perkara dapat dilakukan bagi memajukan masyarakat dan negara kita terutamanya dari aspek untuk bersuara dan meluahkan pendapat yang membina tanpa rasa takut dan bimbang dikenakan tindakan disiplin atau sebarang hukuman yang berkaitan.
Baru-baru ini terdapat cadangan dari sesetengah pihak untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 [Akta 30]. Walaupun usaha penambahbaikan melalui beberapa pindaan sudah banyak kali dilakukan terhadap akta ini, namun masih terdapat pihak yang mahukan akta ini dimansuhkan sepenuhnya.
Kebebasan akademik perlu diberikan supaya semua pihak khususnya kepada para pelajar supaya para pelajar dapat dibentuk dengan lebih holistik lagi untuk menjadi individu yang berkualiti serta berupaya untuk bertapak dan bersaing apabila tiba ke dalam dunia realiti kelak setelah tamat proses pengajian mereka di universiti.
Kebebasan akademik juga dapat menjadi seseorang pelajar itu tampil lebih berani, berkeyakinan dan mampu untuk berfikir secara kritis.
Sifat berani, berkeyakinan dan kemampuan untuk berfikir secara kritis ini adalah antara kualiti yang sering dicari oleh para majikan diluar sana sebelum mengambil seseorang itu untuk bekerja selain daripada kelayakan akademik sekaligus dapat membantu tahap kebolehpasaran para pelajar kita untuk mendapatkan peluang pekerjaan setelah mereka tamat proses pengajian mereka.
Usaha menambahbaik kebebasan akademik ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa.
Pihak kerajaan harus tampil turun ke padang serta mendengar luahan perasaan para pelajar serta ahli akademik mengenai perkara ini, menilai setiap luahan yang telah diberikan oleh pelajar dan ahli akademik kepada mereka serta mengambil segala langkah yang perlu untuk melakukan proses penambahbaikan terhadap mana-mana perkara yang difikirkan perlu.
Segala perbezaan pandangan atau pendapat yang wujud perlu dilakukan melalui proses perbincangan dan debat secara ilmiah dan bukannya melalui proses perundangan dan hukuman. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










