KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan, beliau tidak pernah menggunakan kuasa menteri untuk melantik Naib Canselor sepanjang menerajui Kementerian itu walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) memperuntukkan kuasa berkenaan.
Beliau berkata, kuasa itu tidak pernah digunakan untuk melantik calon ‘pilihan’ menteri kerana pelantikan Naib Canselor perlu melalui proses yang panjang dan berperingkat.
“Pelantikan bermula daripada pencalonan sehingga ke peringkat akhir pemilihan sebelum dikemukakan kepada menteri.
“Kita sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan termasuk apa yang dibangkitkan oleh sekumpulan mahasiswa.
“Ia termasuk cadangan mereka yang meminta supaya proses pelantikan naib canselor tidak berada di bawah kuasa menteri secara mutlak,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Zambry, AUKU tidak memberikan kuasa mutlak kepada menteri untuk melantik Naib Canselor tanpa melalui proses ditetapkan.
“Jika kita lihat kembali AUKU, dalam konteks pelantikan Naib Canselor, ia tidak hanya tertakluk kepada menteri secara mutlak. Terdapat proses yang perlu dipatuhi sebelum keputusan dikemukakan kepada menteri,” katanya.
Sepanjang dua tahun menerajui KPT, katanya, beliau tidak pernah menolak cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Naib Canselor. – UTUSAN










