Liga Mahasiswa berhimpun desak AUKU dimansuhkan

Liga Mahasiswa berhimpun desak AUKU dimansuhkan

ADAM Raiyan Abd. Rahim (tengah) dalam sidang sidang akhbar di hadapan Parlimen Malaysia, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahasiswa dari pelbagai universiti awam seluruh negara berhimpun secara aman bagi mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang didakwa terus mengekang kebebasan dan autonomi mahasiswa.

Himpunan yang berlangsung di hadapan Parlimen itu mencerminkan kebangkitan suara mahasiswa yang menuntut reformasi menyeluruh terhadap sistem tadbir urus pendidikan tinggi negara.

Menurut Liga Mahasiswa Malaysia, Adam Raiyan Abd. Rahim, AUKU meskipun telah beberapa kali dipinda, masih bersifat menekan dan tidak selari dengan aspirasi pendidikan tinggi yang progresif serta demokratik.

“Saya telah menyerahkan satu memorandum yang disokong puluhan organisasi dan gerakan mahasiswa yang dikemukakan sebagai tanda serius akan tuntutan itu.

“Memorandum berkenaan antara lain menuntut pemansuhan total AUKU 1971 dan penggubalan rang undang-undang baharu yang menjamin kebebasan bersuara serta autonomi pelajar dan institusi,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan bangunan Parlimen, hari ini.

Katanya, mahasiswa turut melahirkan kekecewaan apabila Menteri Pendidikan Tinggi tidak hadir menemui mereka, sekali gus dianggap gagal mendengar suara golongan yang terkesan secara langsung.

“Seharusnya universiti menjadi medan subur pemikiran kritis dan perbahasan sihat, bukannya dikongkong oleh peraturan yang bersifat menghukum,” katanya.

Beliau menyatakan, mahasiswa bukan ancaman kepada kestabilan negara, sebaliknya aset penting dalam membina masyarakat madani dan berdaya saing.

Katanya, perjuangan memansuhkan AUKU akan diteruskan secara aman dan berperlembagaan sehingga perubahan sebenar direalisasikan.

Kebangkitan mahasiswa ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa generasi muda menuntut ruang kebebasan yang lebih luas dalam mencorakkan masa depan pendidikan dan demokrasi negara.

“AUKU yang diperkenalkan sejak puluhan tahun lalu tidak lagi relevan dengan keperluan semasa landskap pendidikan tinggi negara ketika ini,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×