AUKU pastikan universiti diurus secara berintegriti - Ahmad Martadha

AUKU pastikan universiti diurus secara berintegriti – Ahmad Martadha

AHMAD MARTADHA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kekal relevan sebagai tunjang utama tadbir urus institusi pendidikan tinggi negara dalam memastikan kelangsungan integriti, kestabilan serta kualiti pengurusan universiti awam.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, AUKU memainkan peranan penting dalam memastikan universiti diurus secara berintegriti, berakauntabiliti dan selari dengan aspirasi nasional.

Menurutnya, AUKU bukan bertujuan menyekat kebebasan akademik sebaliknya menyediakan garis panduan jelas bagi memastikan kebebasan tersebut dilaksanakan secara bertanggungjawab serta tidak menjejaskan keharmonian kampus dan kepentingan awam.

“Sebagai institusi ilmu, universiti memerlukan kerangka perundangan yang kukuh bagi menjamin tadbir urus yang baik, ketelusan pengurusan dan kelestarian akademik.

“Penambahbaikan berterusan terhadap AUKU membuktikan akta ini sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) buat masa ini tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) (AUKU).

Menteri Pengajjian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memaklumkan bahawa AUKU merupakan rangka perundangan utama bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam serta perkara-perkara berkenaan dengannya.

Sejak diperkenalkan, akta tersebut telah melalui lapan kali pindaan merangkumi pelbagai aspek termasuk penambahbaikan tadbir urus, pengurusan aktiviti universiti serta tata tertib pelajar.

Tambah Ahmad Martadha, pindaan yang telah dilakukan memberi ruang lebih luas kepada universiti untuk memperkasa autonomi pengurusan dan akademik, di samping memastikan disiplin serta tata tertib warga universiti terus terpelihara.

“Dalam konteks landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar, pendekatan mengekalkan AUKU dengan penambahbaikan berfasa adalah langkah pragmatik bagi memastikan universiti awam terus berfungsi sebagai institusi yang berwibawa, progresif dan berteraskan nilai ilmu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN