Kuasa itu amanah, bukan kebanggaan

Kuasa itu amanah, bukan kebanggaan

KUASA boleh menjadi alat untuk menegakkan keadilan, melindungi yang lemah dan membaiki sistem yang rosak, jika dijalankan dengan prinsip jelas. JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUASA dan pangkat dianggap kemuncak kejayaan hidup. Namun, di sebalik jawatan dan pengaruh, ia sebenarnya cermin nilai diri. Tidak semua orang berubah apabila berkuasa tetapi menyingkap sama ada seseorang itu menjadi matang, berhati-hati,  berlapang dada, atau keras, defensif dan sanggup mengorbankan prinsip demi mempertahankan kedudukan.

Persoalannya bukan sama ada kuasa itu baik atau buruk tetapi apakah nilai yang memimpin diri sebelum kuasa berada di tangan. 

Dalam Islam, kuasa bukan keistimewaan peribadi tetapi amanah yang dipinjamkan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah dan pada hari kiamat ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang menunaikannya dengan benar” (HR Muslim).

Sejarah kepimpinan Islam menunjukkan kuasa menyingkap nilai yang sudah tertanam. Saidina Abu Bakar memimpin dengan rendah hati dan sederhana. Saidina Umar bin al-Khattab memikul tanggungjawab rakyat seolah-olah kesalahan mereka adalah kesalahannya sendiri.

Saidina ‘Ali menegakkan keadilan walaupun terhadap dirinya sendiri. Mereka membuktikan kuasa tidak menjadikan seseorang baik atau buruk secara tiba-tiba, sebaliknya menonjolkan prinsip yang sudah berakar dalam diri.

Dunia moden menyaksikan masalah apabila kuasa dipisahkan daripada prinsip. Keputusan dibuat demi imej, ego atau kedudukan, kritikan dianggap ancaman dan justifikasi kecil mula menghalalkan sikap menindas atau menutup kebenaran. 

Fenomena ‘gila kuasa’ jarang muncul secara mendadak tetapi tumbuh perlahan-lahan daripada kesilapan kecil yang dibiarkan.

Kuasa boleh menjadi alat untuk menegakkan keadilan, melindungi yang lemah dan membaiki sistem yang rosak, jika dijalankan dengan prinsip jelas. Kesedaran muraqabah bahawa setiap perbuatan akan dipersoalkan di hadapan Allah membantu seseorang mengurus kuasa dengan bijaksana, berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakannya.

Kuasa juga menguji siapa kita sama ada  bekerja kerana prinsip atau kerana pujian dan pengiktirafan? Ia menguatkan nilai sedia ada, jika keikhlasan tertanam, maka kuasa memperkukuhnya  tetapi jika sombong, maka kuasa membesarkan ego.

Sebelum bercita-cita memegang jawatan, persoalannya ialah apakah nilai yang kita bina ketika tiada siapa melihat dan prinsip yang dipertahankan walaupun tidak menguntungkan diri. 

Akhirnya, yang diingati bukan setinggi mana kuasa tetapi siapa kita ketika memegangnya. Kuasa berlalu, tetapi nilai yang dijunjung akan terus hidup dan menjadi teladan generasi akan datang.-UTUSAN

 

DR. NURUL HUSNA MANSOR

Pensyarah Kanan,

Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, 

Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN