PETALING JAYA: Kecederaan lutut tidak menggugat persiapan atlet luncur alpine negara, Aruwin Idami Salehhuddin menjelang Sukan Olimpik musim sejuk pada bulan ini di Milan dan Cortina, Itali.
Atlet berusia 21 tahun itu berkata, beliau berdepan kecederaan lutut ketika beraksi dalam kejohanan di China pada November lalu yang menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan baki perlumbaan.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi slalom saya, dan berjaya mencatat tiga rekod peribadi berturut-turut.
Malangnya, dalam perlumbaan Giant Slalom pertama, saya mengalami kemalangan dan terseliuh lutut, menyebabkan saya tidak dapat menyelesaikan perlumbaan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Arwin, kecederaan lutut yang dialami menyebabkan beliau terpaksa berehat serta menjalani proses pemulihan, sekali gus terlepas blok perlumbaan di Eropah pada bulan ini.
“Saya dan pasukan terpaksa membuat keputusan untuk berehat dan menjalani rawatan pemulihan, menyebabkan saya terlepas blok perlumbaan Eropah pada Januari ini,” katanya.
Aruwin menyertai kejohanan di Korea Selatan pada hujung bulan ini sebelum beraksi di temasya sukan Olimpik musim sejuk yang membuka tirai pada 6 Februari ini.
“Keadaan lutut saya kini lebih terkawal dan saya berharap dapat terus berusaha dengan lebih gigih sebelum menjelang Olimpik,” katanya yang menduduki tempat ke-42 daripada 82 peserta yang mengambil bahagian pada Sukan Olimpik Musim Sejuk pada edisi lalu di China. – UTUSAN










