PN perlukan kepimpinan jelas atau Pas cipta gabungan baharu

PN perlukan kepimpinan jelas atau Pas cipta gabungan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENANGGUHAN mesyuarat kepimpinan serta kelewatan berpanjangan dalam melantik Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) berkembang menjadi krisis legitimasi dan persepsi.

Hal ini secara langsung menjejaskan keyakinan pengundi, khususnya atas pagar yang sebelum ini melihat PN sebagai alternatif kerajaan hari ini.

Dalam politik, masa ialah modal strategik. Setiap hari berlalu dengan ketidaktentuan bukan sahaja melemahkan jentera parti, malah membuka ruang kepada naratif PN sedang terperangkap dalam konflik dalaman yang tidak berkesudahan, berlegar di sekitar tokoh lama dan perebutan kuasa, bukannya perbincangan dasar atau hala tuju negara.

Harganya tidak kecil. Ia dibayar melalui keletihan pengundi, keraguan rakan strategik serta kehilangan momentum nasional yang semakin sukar dipulihkan.

Lebih membimbangkan, krisis ini berlaku dalam keadaan seorang pemimpin yang meletakkan jawatan masih dilihat aktif mencorak dan mengawal keputusan strategik gabungan, sekali gus mencetuskan persoalan besar tentang keikhlasan peralihan kuasa dalam PN.

Hakikat yang jarang diperkatakan secara terbuka ialah dorongan supaya Pas mengambil alih kepimpinan PN bukanlah datang secara unilateral daripada Pas tetapi berpunca daripada tekanan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri.

Pertembungan serius antara pimpinan Bersatu, yang sebahagiannya berpunca daripada gaya kepimpinan dan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin, membawa pemecatan serta penyingkiran beberapa tokoh utama parti tersebut.

Konflik dalaman ini bukan sahaja melemahkan Bersatu, malah menjejaskan kestabilan PN secara keseluruhan.

Dalam konteks inilah, cadangan agar PN ‘diselamatkan’ melalui kepimpinan baharu yang lebih muda, segar dan kurang terbeban dengan konflik lama mula berlegar, termasuk cadangan agar Pas memimpin PN sebagai langkah penstabilan.

Maka, ironi besar apabila Pas di potretkan sebagai punca masalah sedangkan realitinya parti itu dilihat sebagai pilihan terakhir untuk meredakan krisis yang dicetuskan oleh kepimpinan Bersatu sendiri.

Percanggahan terbuka antara Muhyiddin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan pertembungan dua falsafah kepimpinan berbeza.

Muhyiddin mendakwa adanya persetujuan mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi PN dan perluasan kuasa Majlis Presiden sebagai badan pembuat keputusan tertinggi dalam menentukan dasar dan arah gabungan selain penukaran Majlis Tertinggi menjadi Majlis Eksekutif. Majlis Presiden dikatakan akan dipengerusikan oleh Bersatu manakala Majlis Eksekutif akan dipengerusikan Pas.

Cadangan ini, jika diperhalusi secara objektif, secara praktikalnya mengalihkan kuasa PN dari tangan Majlis Tertinggi ke tangan Majlis Presiden yang dipengerusikan Bersatu sekali gus mengekalkan dominasi politik beliau secara tidak langsung.

Sebaliknya, Abdul Hadi menegaskan jawatan Pengerusi PN perlu dikekalkan seperti termaktub dalam Perlembagaan PN manakala Majlis Presiden seharusnya berperanan sebagai badan pemantau dan penasihat sahaja.

Pendekatan Pas ini jelas berasaskan prinsip semak dan imbang, bukannya pemusatan kuasa.

Lebih signifikan, tindakan Muhyiddin membatalkan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, serta menjemput presiden-presiden parti ke pertemuan pramajlis di kediaman peribadinya, mengukuhkan persepsi beliau masih mahu mengetuai dan mengawal PN walaupun sudah melepaskan jawatan pengerusi.

Kegentingan ini memuncak apabila Mesyuarat Majlis Presiden PN yang diadakan di kediaman Muhyiddin pada 29 Januari lalu hanya dihadiri tiga presiden parti komponen iaitu Muhyiddin, Datuk Dominic Lau (Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Gerakan) dan P. Punithan (Parti Rakyat India Malaysia, MIPP).
Ketiadaan Abdul Hadi dalam mesyuarat penting ini memperlihatkan secara terbuka keretakan serius dalam kepimpinan tertinggi serta kegagalan gabungan itu berfungsi sebagai entiti kolektif yang inklusif.

 

PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu selesaikan konflik dalaman supaya Perikatan Nasional (PN) kekal kuat sebagai pembangkang berkesan.

KETIDAKSEIMBANGAN TIMBAL BALIK

Dalam sejarah pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), harus diakui Pas memberikan ruang besar kepada Bersatu dan Muhyiddin memimpin PN, termasuk mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri daripada blok PN walaupun parti Islam itu memiliki jumlah kerusi Parlimen jauh lebih besar dan sokongan akar umbi Melayu lebih konsisten.

Namun, apabila tiba saat penstrukturan semula dan keperluan peralihan kepimpinan yang lebih adil, isyarat yang diterima seolah-olah tidak selari dengan semangat timbal balik yang selama ini diamalkan.

Keengganan memberikan kejelasan terhadap peranan kepimpinan Pas, sama ada melalui pelantikan pengerusi daripada parti itu atau mekanisme kuasa yang seimbang, mencetuskan rasa tidak puas hati yang semakin ketara, bukan sahaja di peringkat elit tetapi juga di akar umbi.

Bagi pengundi atas pagar, konflik ini tidak dibaca sebagai pertikaian individu tetapi sebagai tanda PN masih terperangkap dalam politik lama, iaitu politik tokoh dan kawalan peribadi, bukan politik institusi dan hala tuju negara.

Kelemahan pembangkang bukan sahaja merugikan PN malah memberi kesan langsung kepada kesihatan demokrasi negara. Demokrasi yang sihat memerlukan pembangkang yang tersusun, berwibawa dan diyakini.

Apabila PN gagal mempamerkan kejelasan kepimpinan, maka negara kehilangan alternatif yang stabil, wacana dasar tenggelam dalam konflik dalaman dan ruang pembaikan tadbir urus semakin menyempit.

Bagi pengundi muda, profesional bandar dan kelas menengah, situasi ini mengukuhkan persepsi politik Malaysia masih gagal keluar daripada kitaran lama, menang pilihan raya tanpa kejelasan siapa yang benar-benar memimpin selepas itu.

Dalam realiti semasa, sekurang-kurangnya dua laluan politik semakin jelas. Pertama, PN dikekalkan sebagai gabungan sedia ada tetapi dengan ketetapan yang tegas dan jelas, iaitu Pengerusi PN datang daripada Pas, dipilih oleh Pas dan tokoh tersebut menjadi calon Perdana Menteri PN. Laluan ini mengekalkan struktur PN sambil cuba memulihkan keyakinan melalui kejelasan kepimpinan.

Namun, laluan kedua yang wajar dipertimbangkan, Pas keluar daripada PN dan membentuk gabungan politik baharu yang lebih seimbang dan inklusif.

Gabungan ini boleh dibina atas asas kepimpinan Pas yang dominan dalam sokongan Melayu sambil membuka ruang kerjasama lebih luas dengan rakan politik yang benar-benar menghormati prinsip perkongsian kuasa, kepelbagaian etnik dan tadbir urus profesional.

Dalam senario ini, PN boleh diteruskan oleh Bersatu yang menyebelahi Muhyiddin, Gerakan dan MIPP mengikut acuan mereka sendiri tanpa terus membebani Pas dengan konflik dalaman dan krisis kepimpinan yang berpanjangan.

Pengundi semakin matang, sensitif terhadap kejelasan struktur, profesionalisme kepimpinan dan keupayaan mentadbir negara majmuk.

Dalam konteks ini, pilihan yang memberi Pas ruang untuk memimpin akan menampilkan kepimpinan baharu dan membina jambatan lebih tulen kepada pengundi bukan Melayu kelihatan semakin munasabah serta strategik.

Persoalannya bukan lagi siapa paling berpengaruh dalam gabungan tetapi siapa paling bersedia memimpin negara keluar daripada kemelut politik berpanjangan dengan struktur yang jelas, kuasa yang seimbang dan visi yang inklusif.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×