Harmoni tidak bererti menggadai prinsip

Harmoni tidak bererti menggadai prinsip

TEGURAN Siti Zailah Mohd. Yusoff kepada Nga Kor Ming dalam Dewan Rakyat, baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU penggunaan kalimah Islam menjadi perbincangan awam, khususnya apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ditegur oleh Ahli Parlimen rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff dalam Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Teguran tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, ada yang menyokong atas dasar menjaga kesucian agama dan tidak kurang juga yang menentang atas nama keterbukaan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Dalam konteks ini, penting untuk ditegaskan persoalan pokok bukan semata-mata siapa yang menyebut tetapi bagaimana sesuatu kalimah itu disebut dan difahami. Kalimah seperti Alhamdulillah dan insya-Allah bukan sekadar ungkapan budaya atau lafaz biasa sebaliknya  membawa makna akidah, pengakuan tauhid dan penghayatan terhadap kekuasaan Allah.

Apabila sebutannya tersasar daripada makhraj yang betul atau diucapkan sekadar mengikut ejaan rumi tanpa memahami makna dan roh asalnya, maksud sebenar kalimah tersebut boleh terpesong.

Atas sebab itu, teguran dan nasihat wajar diberikan, bukan dengan emosi atau kebencian tetapi atas dasar mendidik dan memelihara kesucian Islam. 

Jika dibiarkan tanpa panduan atau terlalu bebas digunakan tanpa kefahaman, ia akhirnya boleh menghakis makna asal kalimah tersebut. Dalam keadaan tertentu, larangan atau garis panduan yang jelas juga perlu dipertimbangkan demi menjaga keutuhan agama.

Lebih membimbangkan, apabila isu ini timbul, terdapat persepsi seolah-olah pimpinan Islam terlalu berlembut dan berhati-hati sehingga kelihatan gagal mempertahankan maruah dan kesucian Islam. 

Hakikatnya, orang Melayu Islam masih menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Maka, tanggungjawab untuk memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak boleh dipandang ringan.

Islam telah diturunkan hampir 1,600 tahun yang lalu, lengkap dengan panduan adab, bahasa dan makna yang mendalam. Manakala negara ini pula telah mencapai kemerdekaan hampir 70 tahun. Tempoh masa yang panjang ini seharusnya cukup untuk membentuk kefahaman yang matang tentang batas toleransi dan prinsip yang tidak boleh dikompromi.

Keterbukaan tidak bermakna mengorbankan asas dan keharmonian tidak menuntut kita mengabaikan prinsip. Memelihara kesucian Islam bukan tanda ekstrem tetapi manifestasi tanggungjawab umat dan kepimpinan yang berprinsip.-UTUSAN

TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN