Hari pertama Ramadan dicemari, Israel bunuh lelaki Palestin

Hari pertama Ramadan dicemari, Israel bunuh lelaki Palestin di Gaza

TENTERA Israel melakukan serangan ke atas sebuah bangunan di Khan Younis, hujung bulan lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Hari pertama bulan suci Ramadan bertukar menjadi tragedi apabila seorang pemuda Palestin dibunuh dengan kejam oleh tentera Israel dalam satu serangan di bandar Khan Younis, selatan Gaza, pada Rabu lalu.

Menurut kenyataan ringkas daripada Hospital Nasser di Khan Younis, mangsa maut akibat tembakan tentera Israel di kawasan berhampiran bulatan Bani Suheila, di timur bandar berkenaan.

Saksi memberitahu agensi berita Anadolu bahawa kenderaan tentera Israel yang ditempatkan di timur Khan Younis telah melepaskan tembakan bertubi-tubi sejak awal pagi.

Selain itu, artileri tentera Israel turut  membedil kawasan timur kem pelarian Bureij di tengah Gaza.

Dalam pada itu, kenderaan Israel melepaskan tembakan ke arah kawasan timur Beit Lahia, manakala bedilan artileri menyasarkan kawasan sekitar Jalan Al-Sikka, timur kejiranan Zeitoun di tenggara Bandar Gaza.

Tiada kecederaan dilaporkan serta-merta dalam serangan ini.

Insiden terbaharu ini berlaku di sebalik perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) sejak 10 Oktober tahun lalu. 

Perjanjian itu bertujuan menamatkan perang dua tahun Israel yang telah meragut lebih 72,000 nyawa, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 171,000 penduduk Gaza sejak Oktober 2023.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tentera Israel terus melakukan ratusan pelanggaran gencatan senjata melalui bedilan dan tembakan  yang telah membunuh 603 rakyat Palestin dan mencederakan 1,618 yang lain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN