KEGAGALAN sesuatu dasar biasanya bukan berpunca daripada niat yang salah tetapi daripada cara dikomunikasikan.
Dasar diumumkan dengan angka dan akronim, dibentangkan dengan kemas, namun sering gagal menyentuh realiti kehidupan seharian rakyat.
Komunikasi dasar sepatutnya bermula di ruang pemahaman bersama antara kerajaan dan masyarakat yang akan menerima impak atau manfaatnya, bukan semata-mata di pentas pengumuman rasmi.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sesi libat urus (SLU) semakin diberi perhatian. Namun, SLU hanya bermakna jika difahami sebagai amalan berterusan, bukan sekadar acara berkala yang berakhir dengan laporan.
Libat urus yang sebenar menuntut suara rakyat bukan sahaja didengar tetapi diterjemahkan menjadi keutamaan dasar dan peruntukan belanjawan yang jelas. Belanjawan penyertaan bukan lagi jargon teknokratik tetapi bentuk demokrasi yang dapat dirasai.
Sesetengah kerajaan membangunkan garis panduan untuk mempiawaikan amalan libat urus berkualiti tinggi. Amalan ini membentuk budaya tadbir urus bukan sekadar untuk rakyat tetapi bersama rakyat, menghasilkan pelan dan dasar yang disokong serta boleh dilaksanakan.
SLU perlu melangkaui ‘wajah-wajah biasa’, menghapus halangan penyertaan supaya golongan muda, pekerja, minoriti, penduduk luar bandar dan golongan rentan turut menyumbang.
Antaranya pemilihan lokasi dan format yang inklusif, seperti majlis perbandaran di Kanada yang membawa proses ke jalan utama atau perpustakaan, menjadikan penyertaan lebih mudah dan relevan. Malah, menjadualkan sesi pada waktu malam atau hujung minggu, serta menyediakan penjagaan anak atau elaun, turut memperluaskan akses.
Di peringkat negeri dan kerajaan tempatan, pegawai pelaksana adalah wajah pertama kerajaan kepada rakyat. Namun tanpa latihan mencukupi, mereka kerap dibebani tanggungjawab menyampaikan dasar yang kadangkala mereka sendiri tidak kuasai.
Komunikasi awam yang berkesan memerlukan lebih daripada penguasaan teknikal sebaliknya menuntut kemampuan menterjemah dasar kepada bahasa rakyat, menjawab soalan “mengapa ini penting kepada saya?” dan “bagaimana hidup saya akan berubah?”.
Kegagalan memahami atau menyokong dasar sering dipersalahkan kepada rakyat yang kononnya kurang literasi politik. Sebenarnya, rakyat Malaysia memahami politik secara praktikal. Mereka tahu di mana kuasa sebenar berada dan memahami keterbatasan kerajaan tempatan yang hanya pelaksana tanpa mandat sebenar. Pemusatan kuasa di peringkat pusat telah berakar dekad dan tidak adil menuntut rakyat memahami proses yang tidak memberi penyertaan bermakna.
Desentralisasi menjadi penting kerana ia bukan sekadar pemindahan tugas tetapi kuasa, sumber dan tanggungjawab ke peringkat paling hampir dengan rakyat.
Apabila kerajaan tempatan memiliki autonomi sebenar, sesi libat urus relevan, penyertaan rasional dan kepercayaan terhadap institusi awam dapat dibina semula. Tanpa desentralisasi, komunikasi dasar tetap bersifat simbolik.
Tuntasnya, komunikasi dasar menuntut ekosistem kepercayaan, di mana rakyat bukan sekadar memahami dasar tetapi turut terlibat sepanjang proses perancangan, membentuk dasar yang memberi kesan nyata kepada kehidupan mereka. –UTUSAN
DR. NORAISAH YUSOP
Felo Penyelidik Pascadoktora,
Institut Antarabangsa Dasar Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya










