PEMBAHARUAN yang paling ketara dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 (RPM 2026-2035) adalah pendidikan formal di tahun satu yang akan bermula dari usia enam tahun menjelang tahun 2027.
Kanak-kanak yang berusia lima tahun diwajibkan mengikuti pendidikan prasekolah di sekolah-sekolah kerajaan seperti sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan (SJK), taman bimbingan kanak-kanak (tabika) yang dikelolakan di bawah Jabatan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (Tabika Kemas) serta tabika yang dikelolakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Tabika JPNIN).
Keputusan ini memberi isyarat bahawa pendidikan wajib yang bakal diberikan adalah bukti komitmen kerajaan menyediakan pendidikan percuma khususnya kepada golongan B40.
Secara tidak langsung, peluang mendapatkan pendidikan berkualiti dapat diberikan secara menyeluruh. Ini juga dapat merapatkan jurang status sosial dan ekonomi dalam kalangan ibu bapa, seterusnya mengelakkan keciciran dari mengikuti persekolahan.
Para ibu bapa seharusnya menyambut baik pembaharuan ini namun segelintir pastinya masih kurang yakin untuk melepaskan anak-anak mereka seusia lima tahun untuk berada dalam persekitaran prasekolah.
Bagi anak-anak yang berusia enam tahun pula, mungkin ada yang belum bersedia untuk ke tahun satu. Kesediaan belajar mungkin belum mencapai tahap optimum namun adalah tidak mustahil murid-murid di tahun satu akan mudah menyesuaikan diri mereka sekiranya diberi pendedahan awal ditambah dengan pendekatan yang sesuai.
Program transisi selama sebulan yang pertama di awal persekolahan wajar dipertimbangkan dan diambil sebagai solusi bagi menangani ketidaksediaan murid. Pendekatan belajar melalui bermain masih relevan untuk diaplikasikan bagi mengelakkan kejutan budaya dalam kalangan murid prasekolah dan murid tahun satu.
Dari persepsi yang lain, para pendidik khususnya dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pastinya bersedia untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada.
Keputusan kerajaan menjelang tahun 2025 yang lalu untuk melaksanakan peluasan prasekolah di sekolah-sekolah rendah adalah tepat. Namun, usaha ini masih perlu diberi perhatian agar prasarana dan kemudahan fisikal sekolah benar-benar mampu menampung keperluan murid dan guru khususnya di tahun satu.
Berbeza dengan persepsi pendidik pendidikan awal kanak-kanak swasta yang turut terkesan akibat pembaharuan yang berlaku.
Peluang mengikut persekolahan seawal usia lima tahun akan memberi impak negatif kepada para pengusaha prasekolah swasta yang sebelum ini menawarkan perkhidmatan pendidikan kepada kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan.
Najitahnya, penurunan enrolmen murid di prasekolah swasta paling ketara sejak kebelakangan ini. Tidak dinafikan ramai pengusaha mula mengeluh malah ada yang mengambil keputusan menutup premis masing-masing.
Ditambah dengan kos yang semakin meningkat dan prosedur pendaftaran premis yang semakin ketat dan mencabar membuatkan pihak terbabit memilih untuk ‘gulung tikar’ kerana tidak sanggup mengambil risiko.
Alah bisa, tegal biasa; pembaharuan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ia mengambil masa yang lama untuk menampakkan impak positifnya. Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri perlu disusuli dengan tindakan proaktif Kementerian Pendidikan.
pihak harus menggembleng usaha dan komitmen bagi merealisasikan RPM 2026-2035 sebagai wadah pendidikan negara ke arah yang lebih progresif pada masa hadapan. – UTUSAN
DR. NOR FAUZIAN KASSIM
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia










