SHAH ALAM: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menerbitkan 15 buku cerita kanak-kanak pelbagai kaum sebagai usaha membantu perkembangan pendidikan awal golongan itu.
Presiden Gapena, Zainal Abidin Borhan berkata, penerbitan buku tersebut sebagai manifestasi tanggungjawab yang dimainkan Gapena dalam usaha membina bangsa bermula dengan pendidikan awal kanak-kanak.
“Kami rasa bertanggungjawab untuk memberi fokus pada segmen pendidikan bangsa sebab, majoriti penerbit fokus kepada komersial, jadi aspek membina pemikiran kurang diberikan tumpuan.
“Pendidikan awal kanak-kanak adalah satu aspek yang paling penting dalam proses membina bangsa. Kalau anak-anak tidak kita jaga, kalau kita tidak beri bahan bacaan yang baik pada usia zaman awal ni sebenarnya makin sukar untuk kita membentuk pemikiran mereka bila sampai satu tahap remaja dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran 15 Buku Cerita Kanak-Kanak Pelbagai Kaum terbitan Gapena.
Penerbitan tersebut dilancarkan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Mastura Muhamad yang turut dihadiri kesemua penulis-penulis terlibat pada majlis yang diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 di sini, hari ini.
Tambah Zainal Abidin, 15 judul buku tersebut dikarang dalam bahasa Melayu yang mewakili kepelbagaian budaya Malaysia merangkumi kisah masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Bajau, Kadazan Dusun dan etnik-etnik lain.
Terdahulu, Mastura dalam ucapan perasmiannya berkata PPAS bersetuju memberi sokongan kepada penerbitan buku-buku tersebut dengan membeli 100 naskhah setiap judul.
Katanya kesemua buku-buku tersebut akan diedarkan ke perpustakaan daerah di seluruh negeri.
Selain itu, beliau turut menggesa perpustakaan setiap negeri mengambil langkah sama sebagai tanda sokongan terhadap penerbitan buku berkenaan serta menghargai usaha yang dilakukan oleh penulis-penulisnya.
“Saya juga sarankan supaya bumi tersebut diterbitkan lebih daripada 1,000 naskhah, terbit 2,000 naskhah. Setiap negeri jaga sasterawan, pastikan cetak banyak, harga jadi murah dan boleh bayar royalti lebih kepada penulis,” ujarnya. – UTUSAN










