DALAM menelusuri polemik berkaitan hiasan Krismas di premis bersijil halal di Melaka, satu hakikat penting perlu diakui secara jujur iaitu kekeliruan awam tidak berpunca daripada penguatkuasaan semata-mata tetapi turut didorong oleh cara isu ini dibawa ke ruang politik tanpa penerangan yang mencukupi.
Dalam ekosistem masyarakat majmuk, ahli politik memegang pengaruh yang besar dalam membentuk persepsi awam. Setiap kenyataan, dokumen yang ditularkan atau reaksi terbuka membawa implikasi yang melangkaui kepentingan politik sempit. Apabila isu yang bersifat teknikal dan berlapik ditularkan tanpa konteks penuh, ia bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah membuka ruang kepada permainan sentimen dan tafsiran separa.
Dalam hal ini, penting untuk ditegaskan penguatkuasa agama beroperasi dalam kerangka pentadbiran dan garis panduan sedia ada. Mereka tidak berfungsi dalam ruang persepsi awam. Namun, apabila dokumen dalaman dibawa ke ruang politik sebelum penjelasan rasmi diberikan menyebabkan sifat perbincangan berubah secara mendadak.
Isu yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui penerangan berperingkat akhirnya menjadi polemik terbuka yang menguji sensitiviti antara agama.
Di sinilah persoalan etika perlu diketengahkan. Pengaruh politik datang bersama tanggungjawab moral untuk memastikan maklumat disampaikan secara lengkap, seimbang dan bertanggungjawab.
Menyampaikan sebahagian fakta tanpa konteks yang menyeluruh bukan sahaja tidak membantu, malah berisiko membentuk persepsi yang mengelirukan masyarakat. Dalam isu sensitif seperti agama, pendekatan sedemikian wajar dinilai semula.
Lebih membimbangkan, apabila perbincangan beralih kepada reaksi segera dan tekanan persepsi menyebabkan ruang untuk pendidikan dan kefahaman semakin mengecil. Peraturan berasaskan akidah yang sah dari sudut agama boleh kelihatan tidak munasabah di mata awam, bukan kerana prinsipnya lemah tetapi cara ia diperkenalkan tidak disertai penjelasan yang mencukupi.
Dalam negara majmuk, tanggungjawab menjaga keharmonian tidak boleh diletakkan di bahu satu pihak sahaja. Agensi perlu melaksanakan tugas dengan jelas dan berhemah, manakala ahli politik pula perlu memikul amanah komunikasi awam dengan penuh etika.
Menularkan isu sensitif tanpa kesiapsiagaan penerangan bukan tanda keberanian tetapi kegagalan memahami kesan jangka panjang terhadap kepercayaan rakyat.
Isu ini seharusnya menjadi peringatan bahawa dalam era media sosial, kuasa untuk membentuk naratif adalah kuasa yang perlu diurus dengan kebijaksanaan.
Sebelum sesuatu isu diketengahkan ke ruang awam, rasionalnya perlu dijelaskan. Sebelum sentimen terbentuk, fakta perlu disempurnakan.
Kerana dalam masyarakat yang matang, politik seharusnya menjadi jambatan kefahaman bukan pencetus kekeliruan.-UTUSAN
MOHD. HANIF MOHD. OMAR
Pensyarah Fakulti Seni,
Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi,
Mara (UiTM) Cawangan Melaka










