KPI perlu lebih realistik, jangan susahkan pekerja

KPI perlu lebih realistik, jangan susahkan pekerja

PETUNJUK Prestasi Utama (KPI) membantu perjalanan sesebuah organisasi dalam merangka segala bentuk aktiviti dan program yang dirancangkan, namun ia harus dirangka dengan profesional dan bijak mengikut realiti serta kesesuaian sesebuah organisasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETUNJUK Prestasi Utama (KPI) merupakan  kaedah pengukuran yang mudah, berkesan dan dapat membantu pihak majikan atau sesebuah organisasi menilai tahap kemajuan pekerjaan serta perkhidmatan yang ingin disampaikan di tempat kerja. 

Penggunaan KPI penting pada masa kini. Banyak organisasi baik di sektor awam mahupun di sektor swasta dalam negara kita sudah pun mula mengamalkan penggunaan KPI dalam merangka perjalanan rancangan, aktiviti serta program yang ingin dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan. 

Walaupun penggunaan KPI dilihat dapat membantu perjalanan sesebuah organisasi dalam merangka segala bentuk aktiviti dan program yang dirancangkan, namun ia harus dirangka dengan profesional dan bijak mengikut realiti serta kesesuaian sesebuah organisasi.

Dalam kata mudah, KPI perlu realistik atau berpijak di bumi nyata. Tidak dapat dinafikan setiap organisasi mempunyai objektif serta matlamat berbeza. Jika KPI yang dirangka tidak menepati keadaan atau suasana organisasi dikuatiri akan melahirkan persekitaran pekerjaan yang dipenuhi tekanan atau stres serta tidak harmoni. 

Dalam mewujudkan sebuah tempat kerja yang harmoni serta kurang stres atau tekanan, penting untuk semua pihak terutamanya majikan dan pekerja untuk saling bekerjasama serta faham memahami antara satu sama lain. 

Dengan wujudnya sebuah tempat kerja yang harmoni serta kurang tekanan dapat menjamin kesihatan serta keselamatan semua pihak ditempat kerja. Jika kesihatan dan keselamatan seseorang pekerja itu terjamin, maka fokus dapat diberikan terhadap pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan tahap produktiviti organisasi atau tempat kerja. 

Tidak dapat dielakkan terdapat pelbagai isu yang boleh memberi tekanan dalam kehidupan namun, penting bagi semua pihak memberi kerjasama bagi mengurangkan tekanan dengan merangka langkah atau strategi berkesan. Ini bagi mengurangkan tekanan di tempat kerja serta mewujudkan sebuah tempat kerja yang lebih harmoni mengikut peruntukan undang–undang buruh seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dan lain–lain. 

Penting juga pihak majikan merangka KPI yang lebih realistik sesuai dengan keadaan tempat kerja masing–masing serta sesuai dengan usia pekerja mereka. 

Budaya toleransi, kerjasama serta sifat saling faham memahami antara satu sama lain di antara majikan dan pekerja amat penting bagi mewujudkan sebuah persekitaran tempat kerja yang harmoni, kurang konflik serta kurang tekanan.-UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×