SEBAGAI ibu bapa, kita pastinya mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak. Apabila keputusan penempatan ke sekolah khusus diumumkan, ada ibu bapa yang berbangga kerana anak mereka terpilih, namun ada juga yang berasa kecewa apabila nama anak tiada dalam senarai.
Pada saat inilah kita perlu bertenang dan melihat situasi ini dengan lebih rasional. Tidak terpilih ke sekolah khusus bukan bermakna anak tidak cemerlang, tidak bijak atau tidak mempunyai masa hadapan. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan pendidikan mereka.
Bayangkan kisah atlet dunia seperti Datuk Lee Chong Wei. Beliau pernah menjadi pemain badminton nombor satu dunia. Namun pada perlawanan akhir Olimpik, beliau tewas dan terlepas peluang merangkul pingat emas. Adakah kekalahan itu menjadikan beliau pemain yang lemah? Sudah tentu tidak.
Statusnya sebagai pemain terbaik tetap diiktiraf dunia. Ini menunjukkan walaupun seseorang itu hebat, ada masanya prestasinya tidak memuncak pada saat paling penting. Begitu jugalah dengan anak-anak kita. Walaupun mereka mungkin pelajar cemerlang, ketua pelajar atau tokoh murid di sekolah, mereka tetap manusia biasa yang boleh tersilap pilih jawapan atau gugup ketika ujian dan temuduga.
Hakikatnya, proses pemilihan ke sekolah khusus bergantung pada prestasi ketika ujian atau temuduga pada hari tersebut, bukannya semata-mata rekod pencapaian terdahulu. Semua murid yang mengisi borang dan menepati syarat akan dipanggil untuk menduduki ujian.
Pada hari peperiksaan itulah rezeki mereka ditentukan. Ada murid yang bijak tetapi mungkin tersilap menjawab, ada pula yang sedikit gugup lalu jawapannya kurang tepat. Dalam keadaan ini, markah tetap dikira berdasarkan prestasi semasa. Maka tidak hairan jika ada murid yang cemerlang di sekolah, namun tidak mendapat markah tertinggi dalam ujian pemilihan.
Jika pemilihan dibuat hanya berdasarkan pencapaian terdahulu, sudah tentu hanya kelompok murid terbaik sahaja yang akan terpilih tanpa melalui saringan. Namun sistem yang ada memberi peluang kepada semua murid, sama ada sederhana atau cemerlang, untuk mencuba. Maka janganlah kita terlalu kecewa jika keputusan tidak menyebelahi anak. Mungkin pada hari ujian itu, rezekinya kurang menyinar berbanding murid lain. Itu sahaja.
Sebagai ibu bapa, kita perlu bersabar dan matang menghadapi situasi ini. Jangan membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain. Jangan pula kita menekan anak sehingga mereka berasa gagal atau tidak berguna. Anak-anak sangat mudah terasa. Sedikit sahaja kekecewaan yang kita zahirkan, mereka akan memikul rasa bersalah yang berat. Sedangkan hakikatnya, mereka telah pun berusaha yang terbaik.
Percayalah, kejayaan bukan milik sekolah khusus semata-mata. Banyak pelajar hebat lahir dari sekolah harian biasa. Yang paling penting ialah disiplin, sokongan keluarga, persekitaran yang sihat dan keyakinan diri.
Jika anak kita tidak terpilih hari ini, mungkin ada rezeki lebih baik yang sedang menanti di masa hadapan. Kadang-kadang, apa yang kita sangka kerugian sebenarnya merupakan perlindungan dan hikmah daripada Allah.
Teruskan memberi semangat kepada anak. Katakan kepada mereka keputusan ini bukan noktah sebaliknya hanya satu episod kecil dalam perjalanan panjang hidup mereka.
Selagi mereka rajin belajar, berakhlak baik dan tidak putus asa, insya-Allah kejayaan tetap akan datang dalam pelbagai bentuk. Yang penting, jangan kecewa kerana anak-anak memerlukan senyuman, doa dan keyakinan kita lebih daripada apa-apa pun di dunia ini.-UTUSAN
AZIZUL ASYRAF
Kuala Lumpur










