SAYA menyokong penuh pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai pengekalan UMNO dalam kerajaan sekarang.
Beliau menyatakan perkara tersebut apabila tiada usul daripada semua bahagian UMNO di seluruh negara mengemukakan cadangan supaya parti menarik diri dari kerajaan.
“Sebanyak 175 usul daripada 191 bahagian UMNO yang diterima tidak menyentuh sebarang cadangan supaya UMNO menarik diri daripada kerajaan,” kata Asyraf Wajdi kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau tidak menjangka perkara tersebut menjadi usul besar kerana pendirian untuk berada dalam kerajaan hari ini telah dibincangkan dan diputuskan sebelum ini.
Saya percaya, sebagaimana dinyatakan Setiausaha Agung UMNO tersebut, setiap ahli UMNO faham tentang perlembagaan parti yang menetapkan sebarang dasar atau keputusan besar parti perlu melalui dua platform rasmi iaitu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Bagi saya, biarlah UMNO terus berada dalam kerajaan sekarang hingga tiba masa pilihan raya umum (PRU) akan datang diumumkan.
Masih ada kira-kira dua tahun untuk diadakan PRU16 dan masa itu tidak lama.
Selepas pilihan raya tersebut, UMNO bolehlah mengatur hala tuju sendiri, bergantung kepada setakat mana kekuatan diberi oleh para pengundi.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










