Harapan rakyat tahun baharu 2026

Harapan rakyat tahun baharu 2026

ADAKAH tahun ini benar-benar akan memberi ruang untuk rakyat “bernafas lebih lega”, atau sekadar meneruskan kitaran tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2026 membuka lembaran baharu dengan harapan bahawa kehidupan rakyat Malaysia akan kembali lebih stabil selepas bertahun-tahun melalui penyesuaian ekonomi pascapandemik, rasionalisasi subsidi dan perubahan corak pekerjaan.

Namun, di sebalik optimisme itu, keresahan masih menebal.

Adakah tahun ini benar-benar akan memberi ruang untuk rakyat “bernafas lebih lega”, atau sekadar meneruskan kitaran tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit?

Isu gaji minimum RM1,700 yang berkuat kuasa sejak Februari 2025 sering dijadikan penanda aras kemampuan hidup. Namun bagi majoriti pekerja bandar, jumlah tersebut hanya mencukupi untuk bertahan, bukan menikmati kehidupan berkualiti.

Kenaikan harga makanan asas, sewa rumah, bil utiliti, kos pengangkutan dan yuran pendidikan menyebabkan semakin ramai bergantung kepada kerja sambilan dan ekonomi gig.

Fenomena “pekerja miskin” bukan lagi istilah asing, malah semakin ketara dalam kalangan golongan muda dan keluarga baharu.

Jurang antara pendapatan dan kos hidup semakin melebar apabila purata perbelanjaan isi rumah kini mencecah sekitar RM5,566 sebulan.

Pendapatan garis kemiskinan (PGK) pada paras RM2,705 pula memperlihatkan betapa luasnya kelompok rakyat yang berada dalam zon rapuh.

Kumpulan ini tidak tergolong sebagai miskin tegar, namun hidup tanpa simpanan dan mudah terjejas apabila berdepan krisis kesihatan, kehilangan pekerjaan atau kejutan ekonomi kecil.

Dalam keadaan ini, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi sandaran utama negara untuk membina semula keyakinan rakyat. Namun pelan pembangunan ini tidak akan bermakna jika ia hanya berlegar di peringkat dasar. Kejayaannya memerlukan rakyat memahami hala tuju ekonomi baharu.

Disamping itu, bersedia menyesuaikan diri, sama ada melalui peningkatan kemahiran, perubahan corak kerja atau penerokaan peluang keusahawanan mikro yang lebih lestari.

Di peringkat isi rumah, budaya kewangan baharu perlu dipupuk. Simpanan kecemasan, pengurusan hutang yang lebih berhemah serta perbincangan terbuka dalam keluarga mengenai perbelanjaan menjadi semakin penting.

Ibu bapa perlu membimbing anak-anak agar memahami nilai wang dan realiti kehidupan, supaya generasi akan datang lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Peranan komuniti juga tidak boleh dipinggirkan. Rangkaian kejiranan, persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan boleh menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam mengesan keluarga rapuh yang tercicir daripada sistem bantuan bukan kerana ketiadaan peruntukan, tetapi kerana kelemahan penyampaian di peringkat akar umbi.

Sektor swasta dan institusi pendidikan pula mesti bergerak lebih agresif menyokong agenda peningkatan kemahiran negara.

Program latihan semula, kerjasama industri-akademia dan penyediaan kursus mikro-kredensial perlu diperkasa agar tenaga kerja tempatan tidak tercicir dalam arus automasi dan ekonomi digital.

Akhirnya, setiap keputusan membeli oleh pengguna adalah satu undi ekonomi. Menyokong perusahaan kecil dan produk tempatan bermakna mengukuhkan rantaian ekonomi domestik serta membuka peluang pekerjaan baharu.

Apabila kerajaan sebagai pemudah cara, sektor swasta sebagai pemacu, institusi pendidikan sebagai pembentuk bakat, NGO sebagai jambatan komuniti dan rakyat sebagai rakan kongsi pembangunan bergerak dalam satu hala tuju, tahun 2026 tidak lagi sekadar angka dalam kalendar, tetapi menjadi titik tolak kepada kehidupan yang lebih stabil, seimbang dan bermaruah untuk semua. – UTUSAN

DR. NUR AZIRAH ZAHIDA MOHAMAD AZHAR & PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN