Bantuan sosial hebat tapi masih kabur

Bantuan sosial hebat tapi masih kabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUTUSAN Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan titik penting dalam pembangunan Malaysia. 

Perutusan itu menampilkan gabungan reformasi institusi yang progresif dengan dasar fiskal yang berorientasikan kebajikan sosial. 

Namun, jika dianalisis lebih mendalam, perutusan ini menyingkap beberapa persoalan kritikal iaitu kesesuaian antara retorik reformasi dengan realiti pelaksanaan, keberlanjutan fiskal jangka panjang dan sejauh mana strategi pembangunan bersesuaian dengan tuntutan ekonomi pengetahuan global. 

Walaupun perutusan penuh dengan pengumuman populis, jurang antara aspirasi transformasi dan pelaksanaan yang terukur masih jelas.

REFORMASI INSTITUSI

Empat reformasi utama diumumkan iaitu pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan penubuhan institusi Ombudsman. 

Langkah-langkah ini sejajar dengan amalan terbaik demokrasi konstitusional dan memperkukuh semak dan imbang. Ia mencerminkan kesedaran kerajaan terhadap keperluan pengasingan kuasa eksekutif dan kehakiman.

Namun, perutusan tidak menyertakan jadual masa pelaksanaan, kerangka perundangan konkrit atau mekanisme penilaian prestasi. Pengalaman global menunjukkan tanpa petunjuk prestasi utama (KPI) jelas dan pengawasan bebas, komitmen reformasi berisiko menjadi retorik politik semata-mata. 

Menteri Kabinet menyambut baik tetapi tiada penjelasan bagaimana prestasi reformasi ini akan diukur atau siapa yang memantau.

Kenaikan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA Fasa 2, berkuat kuasa Januari, melibatkan implikasi fiskal RM8 bilion setahun, menjadikan jumlah RM18 bilion apabila digabungkan dengan Fasa 1. 

Walaupun Perdana Menteri menekankan imbuhan mesti diterjemah kepada perkhidmatan cekap dan integriti, mekanisme prestasi yang menghubungkan kenaikan gaji dengan output perkhidmatan awam tidak diperincikan. 

BEBAN FISKAL DAN PARADOKS NEGARA KEBAJIKAN

Komitmen fiskal melalui program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melibatkan peruntukan RM15 bilion untuk 9 juta penerima, dengan SARA bulanan sehingga RM200 dan STR Fasa 1 sehingga RM500. Tambahan lagi, program SARA Untuk Semua 2026 menyasarkan pemberian RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia. Bantuan persekolahan pula melibatkan RM800 juta, termasuk Bantuan Awal Persekolahan RM150 setiap pelajar.

Secara keseluruhan, perbelanjaan bantuan sosial melebihi RM16 bilion, belum termasuk subsidi harga barangan keperluan melalui Jualan Rahmah Madani dan Agro Madani. Angka ini besar, terutama dengan nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 66.1 peratus pada September 2025.

Malaysia sejarahnya mempunyai perlindungan sosial yang rendah. Ekspansi mendadak dalam perutusan 2026 tidak disertakan strategi peralihan dari subsidi semata kepada pembangunan modal insan produktif. 

Kajian ruang fiskal menunjukkan perlindungan sosial mampan memerlukan kos 0.683 hingga 0.939 peratus KDNK. Namun program-program ini lebih bersifat ad-hoc dan tidak selaras dengan kerangka  Pelantar Perlindungan Sosial (SPF)  komprehensif.

JURANG EKONOMI PENGETAHUAN DAN INOVASI

Kelemahan lain ialah kurangnya penekanan terhadap ekonomi pengetahuan dan kapasiti inovasi. Dalam persaingan global, tumpuan perutusan lebih kepada pembangunan fizikal tradisional seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Hospital Sultanah Aminah 2, Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Johor Bahru,  Pengangkutan transit aliran ringan (LRT) Mutiara dan Pusat Kanser Sarawak.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)  menyasarkan sumbangan ekonomi digital 25.5 peratus KDNK pada 2025, dengan pelaburan digital meningkat kepada RM163.6 bilion pada 2024, mewujudkan lebih 48,000 pekerjaan bernilai tinggi. Walau positif, perutusan tidak memberikan perhatian sepadan terhadap strategi ekonomi digital atau transformasi teknologi tinggi.

Dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), nisbah  peratusan perbelanjaan kasar R&D (GERD) Malaysia kepada KDNK hanya 1 peratus, jauh ketinggalan berbanding Korea Selatan (5.2%). Untuk mencapai sasaran Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (2.5 hingga 3.5 peratus KDNK), Malaysia memerlukan pelaburan R&D RM85.7 bilion. Nisbah sumbangan awam-swasta 59:41, berbeza dengan negara maju yang sektor swasta dominan. Kedudukan ini menandakan Malaysia perlu langkah strategik untuk transformasi pengetahuan.

Perutusan menyebut perkhidmatan tanpa kertas, e-invois dan digitalisasi kerajaan. Namun inisiatif ini bersifat pentadbiran, bukan transformatif. Tiada pengumuman pelaburan AI, blockchain, Pengkomputeran Kuantum atau pembangunan ekosistem permulaan teknologi tinggi. Program latihan pekerja gig RM100 juta adalah baik tetapi skalanya kecil untuk transformasi tenaga kerja digital.

 

 

PERUTUSAN Perdana Menteri 2026 penuh aspirasi reformasi dan bantuan sosial tetapi pelaksanaan dan pemantauan masih kabur.

 

DASAR ANTIKARTEL

Kerajaan mengumumkan langkah melawan kartel dengan melonggarkan syarat import sekiranya industri tempatan seperti simen dan besi keluli menyalahgunakan kuasa monopoli. Namun, pendekatan ini bersifat reaktif dan tidak jelas, tiada definisi operasional penyalahgunaan monopoli, ambang berangka atau institusi persaingan berkuasa. Tanpa pihak berkuasa pengawal seliaan yang bebas, bermakna dasar antikartel berisiko menjadi alat politik, bukan mekanisme pembetulan pasaran sistematik.

IMPLIKASI MAKROEKONOMI

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia 4.5 peratus pada 2025 dan 4 peratus pada 2026. KDNK berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, dijangka 4.7 peratus pada akhir suku.

Defisit fiskal dijangka 3.8 peratus KDNK pada 2025, dengan sasaran 3 peratus pada 2026. Nisbah perbelanjaan kerajaan kepada KDNK diramal turun kepada 19.7 peratus, paling rendah sejak 2018.

Komitmen perbelanjaan sosial yang besar menimbulkan persoalan ruang fiskal sebenar. Kajian menunjukkan walaupun ruang fiskal ada, namun perlu dicapai melalui dasar percukaian diperbaiki dan penentuan semula keutamaan perbelanjaan.

Tahun 2026, sebagaimana dinyatakan  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), akan menjadi tahun ujian melalui kualiti pelaksanaan dan hasil terukur. 

Kerajaan perlu membangunkan papan pemuka KPI, integrasikan bantuan sosial dalam SPF dan alihkan fokus fiskal dari subsidi semata kepada pelaburan modal insan. 

Tanpa perubahan ini, Malaysia berisiko tersekat dalam pendapatan pertengahan, pertumbuhan stagnan dan kekurangan kapasiti inovasi untuk ekonomi bernilai tambah tinggi.-UTUSAN

 

DR.Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN