AI, universiti berdepan krisis pengajaran bahasa

AI, universiti berdepan krisis pengajaran bahasa

KITA kini sedang menyaksikan generasi pelajar yang kelihatan cemerlang di atas kertas, tetapi gagal berkomunikasi secara spontan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI dan institut pengajian tinggi di Malaysia sedang berhadapan satu krisis senyap tetapi serius dalam pengajaran bahasa Inggeris.

Krisis ini bukan sekadar soal silibus atau tahap penguasaan bahasa pelajar, tetapi tentang bagaimana kecerdasan buatan (AI) sedang secara perlahan-lahan meruntuhkan asas sebenar pembelajaran bahasa.

Lebih malang lagi. Krisis ini masih belum ditangani dengan ketegasan yang sewajarnya, di mana pendidik dan pembuat dasar terlihat seolah terlalu pasrah dalam situasi ini.

Hari ini, hampir semua bentuk latihan kemahiran berbahasa telah ‘diganggu’, atau lebih tepat, digantikan oleh AI. Pelajar diminta menulis karangan akademik? Karangan dijana sepenuhnya oleh AI, lengkap dengan kosa kata canggih dan struktur ayat yang tidak pernah mereka gunakan pun sebelum ini.

Tugasan pembentangan lisan? Skrip mengkagumkan juga dijana oleh AI, dan pelajar hanya sekadar membaca dari peranti mereka tanpa kefahaman sebenar terhadap apa yang dibentangkan.

Latihan menulis e-mel profesional, minit mesyuarat, atau laporan yang kononnya bertujuan mempersiapkan pelajar memasuki alam pekerjaan, juga disiapkan oleh AI.

Malah latihan pemahaman bacaan, satu komponen teras dalam pembelajaran bahasa, turut “diserahkan” bulat-bulat kepada AI dengan hanya menyalin artikel dan soalan ke aplikasi AI untuk mendapatkan jawapan segera.

Maka persoalan yang perlu kita ajukan dengan jujur ialah: Bilakah sebenarnya para pelajar ini benar-benar belajar bahasa?

Bahasa ialah rangkuman berfikir, menilai, menyusun idea, memperbetulkan dan mencuba lagi. Namun dengan dominasi AI, proses ini semakin hilang. Pelajar tidak lagi sedar di mana kelemahan bahasa mereka kerana kesilapan telah “dipadam” oleh AI.

Mereka tidak membina sebarang kepekaan linguistik, tidak belajar mengesan ayat-ayat atau frasa yang janggal, dan tidak memahami mengapa satu struktur ayat lebih sesuai daripada yang lain.

Segala-galanya kelihatan sempurna, tetapi nyatanya ia hanyalah sebuah kepalsuan. Akibatnya, pelajar menjadi pengguna pasif, dan bukan pembina makna. Mereka tidak tahu cara berfikir dalam bahasa tersebut.

Kesan jangka panjangnya sangat membimbangkan. Kita kini sedang menyaksikan generasi pelajar yang kelihatan cemerlang di atas kertas, tetapi gagal berkomunikasi secara spontan.

Apabila diminta bercakap secara spontan tanpa skrip, menulis jawapan dalam peperiksaan, atau berinteraksi dalam situasi profesional sebenar, kelemahan mereka terserlah dengan jelas.

Jika universiti terus membenarkan AI menggantikan latihan berbahasa yang sebenar, kita sebenarnya sedang melahirkan graduan yang kompeten “secara kosmetik”, tetapi rapuh dari segi tahap kecekapan sebenar.

Lebih menakutkan, hal ini akan berdampak kepada isu kebolehpasaran, profesionalisme dan kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara.

AI akan kekal bersama kita, dan ia bukanlah musuh. Tetapi ia juga bukanlah pengganti kemahiran dan kecekapan sebenar pelajar.

Universiti perlu segera bertindak: Merombak bentuk penilaian, menekankan tugasan berasaskan proses, interaksi lisan sebenar, penulisan berformat, refleksi individu dan maklum balas berterusan.

Jika tidak, AI akan terus menjadi tongkat palsu yang melemahkan pelajar, bukan memperkasakan mereka.

Jika kita gagal bertindak sekarang, kita bukan sahaja sedang menyaksikan kemerosotan pencapaian bahasa Inggeris di universiti, kita sedang ‘menghalalkan’ sebuah ilusi kecekapan yang tidak mencerminkan keupayaan sebenar mereka.

Kita mungkin terpaksa membayar harga yang mahal di masa depan untuk kegagalan ini. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Bahasa,
UiTM Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN