Pendidikan perlu utamakan insan bukan sekadar markah

Pendidikan perlu utamakan insan bukan sekadar markah

KURIKULUM sekolah harus berubah dengan memberi fokus kepada memanusiakan pelajar sementara aktiviti kokurikulum menekankan kepimpinan, empati dan kerohanian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pendidikan menjadi tumpuan negara apabila gejala sosial dalam kalangan remaja dan pelajar semakin ketara. Pergaduhan di sekolah, buli siber, penipuan dalam talian, penyalahgunaan media sosial, kemurungan, hilang arah tujuan dan kejatuhan nilai moral bukan lagi isu terpencil.

Realitinya, sistem pendidikan kita berjaya melahirkan pelajar cemerlang akademik tetapi gagal membentuk generasi yang seimbang dari segi sahsiah, kematangan emosi dan kestabilan pemikiran.

Pendidikan seharusnya membina insan tetapi tekanan mencapai pencapaian akademik menyebabkan nilai kemanusiaan terpinggir. Sekolah kini lebih menjadi tempat menghafal fakta daripada memahami kehidupan.

Akibatnya, pelajar pintar secara akademik tetapi rapuh emosi, mudah terpengaruh, kurang empati dan sukar mengawal diri, sekali gus menjejaskan masa hadapan mereka.

Perubahan zaman menuntut pendidikan yang holistik. Kehidupan pelajar kini banyak dipengaruhi media sosial, apabila algoritma lebih membentuk personaliti mereka daripada nasihat guru atau ibu bapa. Oleh itu, pendidikan kawalan emosi menjadi wajib.

Pelajar perlu belajar mengenal perasaan, mengurus tekanan, menyelesaikan konflik secara sihat, membina daya tahan dan mencari bantuan secara bertanggungjawab agar tidak hanyut dalam dunia maya yang penuh perbandingan palsu dan tekanan sosial.

Kesedaran undang-undang juga semakin penting. Ramai remaja tidak memahami akibat tindakan mereka, menganggap buli siber atau penyebaran fitnah digital sebagai gurauan.

Pendidikan perlu memberi pendedahan tentang tanggungjawab, batasan kebebasan, asas undang-undang, etika digital dan nilai sivik supaya pelajar tidak menjadi mangsa atau pelaku salah laku moden.

Transformasi budaya sekolah juga kritikal. Sekolah mesti menjadi ruang selamat secara fizikal dan emosi selain pelajar harus dihargai dan didengar.

Guru perlu diberi sokongan profesional untuk mendidik jiwa pelajar, bukan hanya berorientasi peperiksaan. Guru seharusnya dihargai sebagai pembimbing moral dan emosi, bukan sekadar pengajar kandungan.

Ibu bapa turut memainkan peranan penting. Ini kerana hubungan keluarga yang rapuh dan pengabaian pendidikan di rumah menyumbang masalah sahsiah pelajar.

Kerjasama antara ibu bapa, komuniti dan sekolah perlu menjadi budaya nasional, kerana anak-anak belajar daripada apa yang mereka lihat di rumah. Nilai hormat, empati, kasih sayang dan disiplin yang dipraktikkan di rumah akan dibawa ke sekolah.

Walaupun kecanggihan teknologi dan kemahiran masa hadapan sering ditekankan, namun perlu sedar yang tiada teknologi boleh menggantikan nilai murni.

Tiada robot atau aplikasi boleh mengajar empati, budi bahasa ataupun akhlak. Nilai inilah yang menentukan jatuh bangun tamadun. Masyarakat tidak runtuh kerana lemah akademik sebaliknya apabila kehilangan moral dan kemanusiaan.

Oleh itu, pembaharuan pendidikan perlu memberi fokus pada pembangunan insan. Kurikulum harus memanusiakan pelajar, aktiviti kokurikulum menekankan kepimpinan, empati dan kerohanian. Sementara pentadbiran sekolah harus mengutamakan kesejahteraan guru dan pelajar.

Kaunselor perlu lebih proaktif dan masyarakat sedar pendidikan adalah tanggungjawab bersama.

Generasi muda hari ini akan menjadi pemimpin masa hadapan. Jika dibesarkan hanya menilai gred, mereka mungkin kurang nilai kemanusiaan. Namun, jika sistem menekankan sahsiah, moral dan akhlak, pastinya mereka akan menjadi pemimpin berjiwa besar.

Pembaharuan pendidikan bukan mudah tetapi memerlukan keberanian untuk memulakannya dan ini akan menentukan masa hadapan negara.

Pendidikan perlu kembali menjadi cahaya yang membentuk akal, jiwa dan peradaban, agar generasi lahir bukan sahaja pintar tetapi juga beradab, bermoral dan berperikemanusiaan. – UTUSAN

AAFIYAH ARISSA
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×