Pembangunan komuniti lestari bersama universiti

Pembangunan komuniti lestari bersama universiti

PEMERKASAAN komuniti melalui Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan pemindahan ilmu melakar perubahan sebenar dalam kehidupan masyarakat. - UiTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMERKASAAN komuniti bukan sekadar slogan indah tetapi merupakan usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kepakaran, dan strategi yang berkesan. Dalam konteks ini, Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan Program Pemindahan Pengetahuan (KTP) merupakan inisiatif yang dijalankan institusi pendidikan tinggi bagi memastikan universiti berperanan melampaui fungsi tradisional pengajaran dan penyelidikan. 

USR menekankan penglibatan aktif universiti dalam menyelesaikan masalah sebenar komuniti melalui kepakaran akademik, penyelidikan dan pemindahan ilmu, kemahiran serta teknologi. 

Inisiatif ini menyasarkan pemerkasaan komuniti dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan alam sekitar. Pemindahan ilmu pula meliputi pelbagai bentuk, termasuk latihan teknikal, pembangunan keusahawanan, inovasi produk dan penggunaan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing. 

Selain itu, USR dan KTP juga membina kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memastikan pembangunan komuniti berjalan secara mampan. Dengan kata lain, USR dan KTP menjadikan universiti sebagai ejen perubahan sosial yang bertanggungjawab dan berkesinambungan.

Menurut Laporan Statistik Kemiskinan Nasional sehingga 30 Jun tahun ini, Kelantan mencatat jumlah kemiskinan tertinggi di Malaysia bersama Sabah dan Sarawak, dengan 349 Ketua Isi Rumah (KIR) tergolong miskin tegar dan 58,995 dalam kategori miskin, menjadikan jumlah keseluruhan 59,344 KIR. Data ini mencerminkan cabaran sosioekonomi yang serius, khususnya di kawasan luar bandar, di mana ramai masih berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM1,198 bagi miskin tegar dan RM2,589 bagi miskin. Justeru, pelaksanaan program berimpak tinggi seperti USR dan KTP amat relevan sebagai intervensi strategik. 

Ini kerana bukan sahaja memberikan bantuan segera tetapi juga membangunkan kapasiti, memperluas peluang pekerjaan, meningkatkan akses pendidikan dan memperkasa ekonomi komuniti setempat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dan memperkukuh daya saing negeri.

Dalam konteks ini, universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi tetapi juga rakan strategik pembangunan komuniti. 

Universiti Teknologi Mara (UiTM), khususnya Cawangan Kelantan lama melaksanakan USR dan KTP bagi memindahkan kepakaran, teknologi dan inovasi terus kepada masyarakat. 

Pelbagai inisiatif dijalankan, termasuk pembangunan kemahiran, pemerkasaan ekonomi, pendidikan, kesedaran kesihatan, seni dan kelestarian alam sekitar. 

Usaha-usaha ini bukan sahaja memperkenalkan pendekatan lebih inovatif dan efisien tetapi turut memperkukuh penjenamaan institusi, meluaskan jaringan kerjasama, membuka peluang pasaran dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Hala tuju ini sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di mana pendidikan tinggi bukan sahaja menjadi pemacu ekonomi tetapi juga tunjang pembinaan masyarakat yang berilmu, beretika dan progresif, selaras dengan nilai Malaysia Madani.

Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, menekankan  universiti perlu mewujudkan persekitaran inklusif yang membolehkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang belajar bersama dan saling berkongsi ilmu melalui dasar serta kerjasama yang mengutamakan akses, kolaborasi juga saling menghormati.

Antara kesan positif daripada pendekatan ini termasuk peningkatan taraf hidup peserta, pengurangan jurang kemahiran antara bandar dan luar bandar, pemeliharaan warisan budaya tempatan melalui inovasi serta pengukuhan ekonomi setempat.

Bagi memastikan kesinambungan, cadangan seperti memperluas kerjasama industri, menyediakan platform pemasaran digital khusus untuk produk komuniti dan menubuhkan pusat inovasi setempat yang diurus bersama universiti dan komuniti perlu dipertimbangkan.

Jelaslah pemerkasaan komuniti melalui USR dan pemindahan ilmu bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial universiti tetapi juga melakar perubahan sebenar dalam kehidupan masyarakat. 

Dengan sokongan pelbagai pihak, UiTM berpotensi menjadi peneraju dalam membina komuniti yang berdaya saing, inovatif, dan lestari, selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan seluruh rakyat.-UTUSAN

 DR. WAN NORASWANIATY WAN AHMAD &  DR. SITI ROSNITA  SAKARJI

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN