Mengapa matematik dianggap membosankan?

Mengapa matematik dianggap membosankan?

MATEMATIK mempunyai potensi besar untuk menjadi subjek paling menarik kerana menerangkan corak alam, teknologi dan kehidupan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MATEMATIK sering menjadi subjek yang menimbulkan ketakutan dan kebosanan dalam kalangan murid meskipun merupakan asas penting kepada kemajuan negara.

Persepsi negatif ini terbentuk melalui pengalaman pembelajaran yang panjang, pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang kaku serta budaya masyarakat yang mewarisi pandangan bahawa matematik adalah subjek sukar.

Bagi kebanyakan murid, matematik dirasakan terlalu menuntut ketepatan. Kesilapan kecil boleh menyebabkan kehilangan markah, lalu menimbulkan tekanan dan rasa tidak yakin. Apabila konsep asas tidak difahami, jurang itu berlarutan dari satu tahun ke tahun berikutnya, menjadikan matematik semakin mustahil untuk dikuasai. Apabila murid mula percaya mereka tidak pandai matematik, rasa bosan pun muncul.

Pendekatan PdP turut memainkan peranan besar. Murid cepat hilang tumpuan jika pengajaran hanya berfokus kepada hafalan formula dan latih tubi tanpa penerangan kontekstual. Matematik tidak boleh diajar sebagai prosedur semata-mata sebaliknya perlu dikaitkan dengan kegunaan sebenar seperti pengurusan kewangan, masa, data dan keputusan harian.

PdP yang tidak interaktif tanpa aktiviti amali, kolaborasi atau penggunaan visual menjadikan matematik kaku dan kurang menarik.

Budaya masyarakat turut menyumbang. Ungkapan seperti ‘memang matematik susah’ normalisasi kelemahan dan melemahkan motivasi murid. Mereka membesar dengan kepercayaan matematik hanya untuk golongan tertentu.

Dalam era teknologi pula, cabaran baharu muncul. Telefon pintar dan hiburan segera mengurangkan ketekunan murid. Matematik memerlukan pemikiran bertahap tetapi budaya ‘jawapan cepat’ menjadikan mereka mudah berputus asa. Pengalaman negatif di sekolah rendah seperti dimarahi ketika tersilap kira atau takut mencuba juga menjejaskan keyakinan jangka panjang.

Tekanan peperiksaan memperburukkan keadaan apabila matematik hanya dilihat sebagai alat mengejar gred. Pembelajaran menjadi mekanikal, menghilangkan rasa ingin tahu.

Di sekolah, kelas besar dan kejar silibus pula mengehadkan kreativiti guru untuk melaksanakan aktiviti menyeronokkan.

Hakikatnya, matematik mempunyai potensi besar untuk menjadi subjek paling menarik kerana menerangkan corak alam, teknologi dan kehidupan.

Dengan PdP yang kreatif, sokongan emosi, aplikasi dunia sebenar dan naratif positif ‘semua murid boleh belajar matematik’, lalu boleh mengubah persepsi murid.

Kesimpulannya, masalah bukan pada matematik tetapi pada pengalaman dan pendekatan.

Pembaharuan menyeluruh diperlukan agar matematik kembali menjadi ilmu yang menyeronokkan dan membina daya fikir generasi masa hadapan.-UTUSAN
ANIQ SYAFI ZAIMY
Multimedia University

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×