BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap 25 tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan dan pengubahan wang haram RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan rayuan hukuman daripada kedua-dua belah pihak. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara serentak itu bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman pemenjaraan dana SRC International Sdn. Bhd.
Keputusan mahkamah ini menerima pelbagai reaksi daripada banyak pihak baik dari dalam mahupun dari luar negara kerana kes terbabit melibatkan individu penting dalam negara kita.
Apa-apa jua reaksi yang diberikan, penting bagi semua pihak untuk bertenang serta menghormati keputusan dibuat oleh pihak mahkamah bagi terus menjamin kestabilan serta keyakinan masyarakat terhadap institusi undang-undang serta kehakiman yang ada dalam negara kita.
Sebarang keputusan oleh pihak mahkamah dalam negara dibuat berdasarkan bukti-bukti serta bahan keterangan yang kuat, relevan dan boleh dipercayai bagi menyokong sesuatu proses pendakwaan di mahkamah. Ini juga dikuatkan lagi dengan segala proses penghujahan yang dilakukan oleh pihak peguam profesional, berpengalaman dan pakar dengan bidang masing-masing dalam kes perbicaraan berkenaan.
Sekiranya, pihak yang didapati bersalah tidak berpuas hati terhadap keputusan yang ditetapkan, boleh membuat proses rayuan diperingkat mahkamah yang seterusnya. Dalam negara kita, mana-mana pihak yang ingin mengemukakan rayuan boleh merayu ke Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi. Proses Semakan Kehakiman dan pengampunan diraja juga ada disediakan.
Institusi kehakiman merupakan institusi penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi termasuklah Malaysia. Fungsi mahkamah adalah untuk menegakkan keadilan untuk semua pihak.
Bagi memastikan sistem kehakiman berjalan dengan baik, institusi mahkamah akan memastikan proses keadilan berjalan dengan saksama berlandaskan undang-undang sedia wujud dalam negara tanpa mengira siapa juga yang diadili. Ini penting bagi memastikan kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan dan kebebasan mahkamah dalam negara sentiasa dipertahankan.
Semua pihak sentiasa mengharapkan pihak mahkamah melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas dan berkecuali serta yang paling penting tanpa berasa bimbang. Oleh yang demikian, penting untuk semua pihak memberi kepercayaan serta sokongan penuh kepada institusi kehakiman dan yang paling penting menghormati institusi kehakiman itu sendiri.
Sebarang ketidakpuasaan terhadap sesuatu keputusan atau perkara bolehlah disalurkan melalui proses serta peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dalam negara kita.
Amat tidak wajar sekiranya sebarang ketidakpuasan terhadap keputusan mahkamah ini diluahkan dengan cara yang tidak sepatutnya kerana dibimbangi boleh menggugat tahap kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan serta institusi kehakiman dalam negara kita. Penting supaya sistem keadilan dan institusi kehakiman negara kita dipertahankan dan dihormati pada setiap masa.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










