Kawal penggunaan telefon bawah umur

Kawal penggunaan telefon bawah umur

MALAYSIA mungkin tidak memerlukan larangan sepenuhnya, tetapi dasar negara yang menetapkan sempadan yang jelas penggunaan telefon mudah alih adalah perlu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Pendidikan telah memperkenalkan garis panduan anti-buli dan portal pelaporan nasional. Walaupun inisiatif ini positif, garis panduan sahaja tidak mencukupi. Dasar mesti dilaksanakan secara konsisten di semua persekitaran sekolah.

Pada masa ini, tiada Akta Anti-Buli kebangsaan, dan kebanyakan kes diuruskan melalui dasar sekolah individu dan prosedur tatatertib. Melaksanakan undang-undang yang serupa akan mewujudkan tanggungjawab dan akauntabiliti yang jelas untuk semua orang dalam ekosistem sekolah.

Malaysia mungkin tidak memerlukan larangan sepenuhnya, tetapi dasar negara yang menetapkan sempadan yang jelas penggunaan telefon mudah alih adalah perlu.

Untuk memulihkan standard moral di sekolah, Malaysia mesti mengambil tindakan yang diselaraskan merentasi pelbagai bidang.

Pertama, menerusi penguatkuasaan undang-undang negara harus memikirkan untuk menggubal polisi berkaitan Akta Anti Buli dan Kemudaratan Digital Kebangsaan.

Ia harus mentakrifkan buli fizikal, emosi dan dalam talian dengan jelas dan menyerahkan tanggungjawab kepada kementerian, negeri, sekolah dan ibu bapa serta menetapkan garis masa untuk kes melibatkan pelaporan, penyiasatan, pemulihan dan memerlukan akses data yang telus.

Kedua, menerusi sistem pendidikan yang menitikberatkan etika moral dan adab, seperti penaakulan moral, memberi pendidikan tentang empati dan kewarganegaraan digital yang seharusnya disepadukan ke dalam kurikulum.

Pelajar juga digalakkan untuk mempertimbangkan kesan tindakan mereka sebelum merakam, menyiarkan atau berkongsi kandungan digital menggunakan telefon mudah alih.

Ketiga, persekitaran sekolah yang kondusif mesti direka bentuk sebagai zon bebas telefon, menyediakan ruang yang menggalakkan interaksi langsung manusia, perbincangan dan penyelesaian konflik. Manusia lebih penting untuk menyelesaikan sesuatu masalah menerusi perbincangan dibandingkan bergantung sepenuhnya pada teknologi digital yang kurang emosi manusianya.

Keempat, sokongan kolabratif daripada semua pihak, di mana setiap sekolah memerlukan peneraju perlindungan emosi, mental yang terlatih, sebagai contoh khidmat kaunseling bermaklumat untuk mangsa trauma dan pembuli, dan hubungan kukuh dengan kebajikan, kesihatan dan penguatkuasaan undang-undang.

Kelima, sokongan komuniti menerusi ibu bapa, syarikat teknologi telekomunikasi dan sekolah mesti bekerjasama. Platform telekomunikasi dan media sosial harus melaksanakan langkah seperti pengesahan umur, penyingkiran kandungan pantas dan kawalan pada penciptaan sembang kumpulan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian.

Namun, keluarga harus mengutamakan perbualan yang bermakna dan sentiasa berkomunikasi dan berdialog dengan kanak-kanak, dan bukannya bergantung semata-mata pada pemantauan.

Saranan ini bertujuan membangunkan individu yang bertanggungjawab yang menyedari kepentingan maruah, rasa hormat, dan belas kasihan bukannya menerusi tekanan undang-undang etika yang keras namun berempati.

Sekolah-sekolah di Malaysia harus mengajar bukan sahaja mencapai menerusi kecemerlangan mata pelajaran akademik semata-mata, tetapi juga cara hidup dengan bermaruah, beradab dan saling menghormati, di luar talian dan dalam talian.

Dengan kerjasama daripada pelbagai pemegang taruh terhadap pembaharuan undang-undang, inovasi pendidikan, penglibatan komuniti dan penggunaan teknologi mudah alih yang bertanggungjawab, ia dapat memupuk perubahan yang bermakna untuk kesejahteraan pendidikan di sekolah. – UTUSAN

PROFESOR MADYA TS. DR. SHAMSUL ARRIEYA ARIFFIN
Ketua Penyelidik Teknologi Digital
Berteraskan Manusia dan Budaya (HCCTD), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×