JABATAN Alam Sekitar (JAS) melancarkan Minggu Operasi Gerak Kenderaan Motor Peringkat Kebangsaan 2025 sebagai usaha berterusan memastikan pematuhan standard pelepasan kenderaan di seluruh negara.
Bagi memastikan kualiti udara sentiasa terpelihara, JAS terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap pelepasan asap kenderaan, meskipun hanya disokong oleh 94 orang pegawai Unit Kenderaan Bermotor di seluruh negara. Antara operasi utama yang dijalankan termasuk Ops Gerak/Statik dengan 509 bilangan operasi dan Ops Catat/Kamera Video dengan 3,058 bilangan operasi.
Sepanjang Januari hingga Oktober lalu, melalui 5,026 operasi yang dijalankan JAS merekodkan 312,178 kenderaan diperiksa, 883 kompaun dikeluarkan dan 50 perintah larangan ke atas kenderaan yang melepasi had pencemaran.
Ops Gerak Kebangsaan akan dilaksanakan serentak di seluruh negara pada minggu kedua Disember dan operasi ini akan diteruskan secara berkala dari semasa ke semasa.
JAS mengingatkan pemilik kenderaan komersial, industri dan persendirian agar:
• Memastikan kenderaan diselenggara dengan baik
• Mematuhi spesifikasi teknikal yang telah ditetapkan
• Mengelakkan pengubahsuaian yang menyebabkan pelepasan asap berlebihan atau pencemaran bunyi sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Bagi mengukuhkan keberkesanan operasi di lapangan, JAS telah dilengkapkan dengan peralatan pengukuran dengan teknologi terkini yang merangkumi:
• 22 unit meter asap (diesel)
• 14 unit gas analyser baharu (petrol)
• 14 unit Sound Level Meter bagi
pengukuran bunyi
Perolehan aset dengan teknologi terkini diharapkan dapat membantu meningkatkan ketepatan pemeriksaan dan kecekapan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.
JAS akan terus meningkatkan operasi pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan standard pelepasan kenderaan dipatuhi serta kualiti udara negara kekal pada tahap yang selamat dan mampan.-UTUSAN
JABATAN ALAM SEKITAR










