Generasi muda juga perlu difahami

Generasi muda juga perlu difahami

GENERASI kini bukan lemah tetapi mereka hanya membesar dalam dunia yang terbina di atas skrin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK adil untuk terus menuduh generasi muda sebagai penagih skrin atau lalai akhlak. Realitinya, media sosial hari ini bukan sekadar hiburan tetapi ekosistem kehidupan yang membentuk identiti, emosi dan hubungan sosial mereka. 

Dengan 25.1 juta pengguna aktif di Malaysia dan purata masa skrin melebihi lapan jam sehari membuktikan golongan muda tidak berada dalam talian kerana ketagihan semata-mata tetapi kerana di situlah dunia sosial mereka hidup dan berkembang.

Dalam perspektif komunikasi, medium itu sendiri membentuk cara berfikir dan bertindak. Media sosial bukan lagi saluran neutral tetapi ruang aktif yang mencorak makna dan tingkah laku. 

Remaja mencari dimiliki, didengari serta diiktiraf dan platform digital memenuhi keperluan tersebut dalam bentuk visual, pantas lagi mudah diakses. Fenomena hubungan parasosial iaitu merasakan keintiman dengan pempengaruh walaupun tanpa interaksi dua hala  mengisi kekosongan sosial yang tidak mereka peroleh di dunia nyata.

Namun, di sebalik keakraban digital wujud luka yang tersembunyi. Buli siber kini menjadi ancaman besar, dengan ribuan kes dilaporkan setiap tahun. Tidak seperti buli tradisional yang terbatas ruang dan waktu, buli siber berlarutan tanpa henti, digerakkan oleh ‘tanpa nama’ yang menghilangkan empati. Media sosial hanya membesarkan dinamika kuasa dan budaya agresif yang sudah lama wujud dalam kehidupan sebenar.

Teori Kehadiran Sosial menjelaskan mengapa platform digital terasa begitu ‘hidup’. Walaupun tidak sekaya komunikasi bersemuka, namun cukup membuatkan remaja berasa dilihat dan didengari. Namun hubungan itu dangkal ekoran validasi yang diterima bersifat sementara dan sering meninggalkan mereka lebih sunyi daripada sebelumnya.

Memberi nasihat supaya kurangkan masa skrin tidak lagi memadai. Masalah ini bukan sekadar disiplin diri tetapi struktur sosial yang menjadikan media sosial pusat identiti dan interaksi. 

Ibu bapa, sekolah dan komuniti perlu menyediakan alternatif yang realistik dengan ruang sosial tanpa teknologi, literasi digital yang mendidik mereka tentang manipulasi algoritma serta kepimpinan dewasa yang menunjukkan teladan komunikasi sihat.

Generasi kini bukan lemah tetapi mereka hanya membesar dalam dunia yang terbina di atas skrin. Tanggungjawab kita adalah membantu mereka menavigasinya dengan bijaksana, sambil memulihkan ekosistem hubungan bersemuka yang lebih autentik dan manusiawi.-UTUSAN

REFQAH SOFEA MOHD. SOFI & NURUL NISHA MOHD. SHAH

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×