Era baharu kepimpinan Muslim di New York

Era baharu kepimpinan Muslim di New York

PENTADBIRAN Zohran Mamdani masih baharu dan penilaian terhadap keutamaannya terhadap agenda Muslim hanya dapat dilihat selepas 100 hari pertama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York pertama beragama Islam menandakan detik bersejarah dalam politik Amerika Syarikat (AS).

Dalam negara yang pernah bergelut dengan gelombang Islamofobia pasca 11 September dan retorik antiimigran era pentadbiran Donald Trump, pencapaian ini menjadi simbol harapan baharu bagi komuniti Muslim di seluruh dunia. 

Kemenangan itu sekali gus menunjukkan Muslim Amerika bukan lagi berada di pinggiran, sebaliknya semakin diterima dalam arus perdana politik, dengan implikasi penting terhadap persepsi integrasi dan keterlibatan mereka dalam ruang awam negara itu.

Usaha komuniti Muslim di New York memperkukuh kedudukan sosial dan hak mereka bukan perkara baharu. Antara kejayaan besar mereka termasuk pengiktirafan Hari Raya Aidiladha sebagai cuti umum pada 2015 melalui gabungan saluran politik dan gerakan masyarakat. Kejayaan ini mencerminkan kesungguhan komuniti Muslim memperjuangkan identiti mereka dalam masyarakat majmuk. Namun, kesinambungan kepimpinan yang memahami realiti mereka amat diperlukan agar pencapaian ini dapat dikekalkan dan diperluas.

Persoalan kini ialah sejauh manakah Mamdani akan meneruskan perjuangan komuniti Muslim selepas menjadi Datuk Bandar. Manifestonya menekankan isu global, termasuk pendiriannya terhadap konflik Israel-Palestin, seperti pengisytiharan akan mengambil tindakan undang-undang jika Perdana Menteri Israel melawat New York. 

Walaupun tindakan ini selari dengan solidariti global, isu tersebut bersifat sejagat dan tidak tertumpu khusus kepada kepentingan harian komuniti Muslim New York.

Di sisi lain, sokongan terbuka Mamdani terhadap hak komuniti LGBTQ+, termasuk menghadiri perarakan Pride, menimbulkan perdebatan dalam kalangan Muslim. Dari perspektif normatif Islam, tindakan ini dilihat bertentangan dengan prinsip syariah mengenai orientasi seksual. Ia menimbulkan reaksi bercampur-baur, yang  mana sebahagian pihak menganggapnya strategi politik dalam landskap liberal New York. Ada yang elihatnya sebagai normalisasi nilai yang bercanggah dengan keyakinan agama.

Sebagai Datuk Bandar beragama Islam pertama, Mamdani memikul tanggungjawab moral yang mencerminkan nilai Islam dalam kepimpinannya. Harapan masyarakat Muslim New York termasuk memperjuangkan isu keselamatan institusi Islam, akses pendidikan agama, diskriminasi pekerjaan dan keadilan sosial. Kejayaannya bukan sekadar kemenangan politik tetapi peluang untuk memperkukuh kedudukan komuniti Muslim di bandar kosmopolitan itu.

Setakat ini, pentadbiran Mamdani masih baharu dan penilaian terhadap sejauh mana beliau akan mengutamakan agenda Muslim memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 100 hari pertama. 

Apa yang jelas, beliau kini berada dalam kedudukan strategik untuk membentuk paradigma baharu kepimpinan Muslim di negara itu, menunjukkan kepimpinan Muslim boleh menjadi model keseimbangan antara tuntutan dunia dan nilai spiritual tanpa mengorbankan prinsip agama atau sensitiviti masyarakat majmuk.

Kemenangan Mamdani memberi peluang unik kepada komuniti Muslim New York untuk meneguhkan suara mereka dalam politik, seterusnya membina identiti yang diiktiraf secara sah dalam struktur pemerintahan bandar. Ia juga membuka ruang bagi wacana lebih inklusif mengenai kepimpinan Muslim, dengan nilai moral, keadilan sosial dan prinsip agama dapat diintegrasikan secara harmoni dalam pentadbiran moden.

Dengan sokongan masyarakat, kesedaran politik yang meningkat, dan penghayatan nilai murni, Mamdani berpeluang menjadi contoh bagaimana seorang pemimpin Muslim dapat membimbing masyarakat majmuk secara adil dan berkesan, serta mengekalkan kesinambungan perjuangan komuniti Muslim di bandar global seperti New York.-UTUSAN

 

DR. ASZLAN SELAMAT
Pensyarah Kanan,
Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP),
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×