Budaya selamat asas kesejahteraan pelajar

Budaya selamat asas kesejahteraan pelajar

BUDAYA selamat di institusi pendidikan mesti dibina melalui kesedaran, komunikasi terbuka dan rasa hormat sesama manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESELAMATAN di institusi pendidikan bukan hanya bergantung pada tingginya pagar, banyaknya kamera litar tertutup (CCTV) atau ramainya pengawal keselamatan di pintu masuk sebaliknya merangkumi perlindungan fizikal, emosi, sosial dan moral seluruh warga pendidik mahupun pelajar.

Dalam suasana pendidikan hari ini, kita semakin menyedari betapa pentingnya membina budaya selamat apabila berlaku pelbagai kes salah laku disiplin dan jenayah yang melibatkan pelajar serta masyarakat sekitar.

Kejadian salah laku jenayah seperti kes rogol, buli dan bunuh yang tular baru-baru ini menjadi pengajaran besar kepada semua pihak. Ia bukan sekadar berita tragis tetapi isyarat jelas keselamatan dan kesejahteraan pelajar tidak boleh dipandang ringan.

Lebih membimbangkan, kejadian-kejadian ini turut menggugat kepercayaan masyarakat terhadap tahap keselamatan anak-anak di institusi pendidikan. Setiap kali seorang pelajar menjadi mangsa, itu adalah hari berduka untuk sistem pendidikan.

Oleh itu, konsep Sekolah Selamat atau Institusi Pendidikan Selamat perlu difahami dan diamalkan oleh semua pihak. Ia bukan tanggungjawab pentadbir atau pengurusan semata-mata tetapi amanah bersama antara guru, pensyarah, pelajar, ibu bapa, komuniti setempat dan pihak berkuasa.

Budaya selamat mesti dibina melalui kesedaran, komunikasi terbuka dan rasa hormat sesama manusia.

Dalam usaha memperkukuh keselamatan pelajar, pendidikan nilai perlu diperkasa. Nilai hormat, tanggungjawab, empati, disiplin dan integriti mesti diterapkan dalam semua aspek pengajaran dan pembelajaran.

Pendidik berperanan sebagai model teladan yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga mendidik hati dan jiwa. Apabila nilai murni menjadi asas tindakan, maka wujudlah komuniti pembelajaran yang saling menjaga, menghormati dan melindungi antara satu sama lain.

Pelajar pula perlu dididik tentang hak mereka terhadap keselamatan diri dan cara melapor sebarang bentuk salah laku dengan selamat tanpa rasa takut. Pihak institusi perlu menyediakan sistem pelaporan yang mesra, sulit dan telus supaya suara pelajar benar-benar didengari.

Guru dan pensyarah juga perlu dilatih untuk mengenali tanda-tanda awal salah laku dan mengambil tindakan berasaskan empati, bukan sekadar hukuman.

Dalam era digital, salah laku juga wujud dalam bentuk baharu seperti buli siber, penyebaran maklumat palsu dan gangguan dalam talian. Maka pendidikan literasi digital serta etika penggunaan media sosial harus dijadikan sebahagian daripada budaya institusi pendidikan selamat.

Hakikatnya, membina budaya selamat memerlukan keberanian dan kejujuran. Keberanian untuk melapor, kejujuran untuk membetulkan kelemahan sistem dan kesungguhan untuk melindungi pelajar daripada sebarang bentuk ancaman. Salah laku disiplin dan jenayah bukan isu kecil sebaliknya menggambarkan tahap kematangan moral dan integriti masyarakat.

Apabila setiap warga institusi mengambil tanggungjawab, bukannya sekadar menunggu tindakan pihak atasan, maka lahirlah budaya selamat yang sebenar.

Institusi pendidikan yang selamat melahirkan pelajar yang yakin, berani dan sejahtera. Itulah tunjang kepada Malaysia Madani yang berakhlak, bermaruah dan berperikemanusiaan.-UTUSAN

DR. ABDUL MUQSITH AHMAD
Pensyarah Kanan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN