Belia semakin kurang patriotik?

Belia semakin kurang patriotik?

BELIA tidak menolak patriotisme sebaliknya tidak menerima pendekatan lama yang tidak sesuai lagi dengan gaya hidup semasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELIA berada di tengah-tengah dunia digital yang serba pantas, dipengaruhi algoritma kecerdasan buatan (AI) yang menentukan apa yang muncul di skrin setiap hari.

Dalam keadaan ini, kandungan yang mereka tonton bukan lagi hasil pilihan bebas semata-mata tetapi hasil saringan algoritma yang menilai minat, tingkah laku dan sejarah tontonan.

Jika video berkaitan perpaduan, sejarah negara atau isu kenegaraan tidak termasuk dalam pola tontonan mereka, algoritma akan menolaknya ke tepi. Ini bukan sekadar isu teknikal tetapi cabaran besar kepada usaha membina jati diri bangsa pada abad ke-21.

Bagaimana nilai patriotisme dapat dipupuk jika pendedahan kepada maklumat tidak lagi ditentukan oleh guru, ibu bapa atau media arus perdana tetapi melalui sistem algoritma yang lebih mengutamakan keuntungan dan penglibatan? Inilah realiti baharu yang perlu difahami seluruh masyarakat.

Tinjauan terhadap tabiat penggunaan digital belia menunjukkan kecenderungan terhadap kandungan hiburan, gaya hidup dan politik sensasi yang lebih mudah menarik perhatian.

Kandungan berkaitan negara dan jati diri pula hanya mendapat perhatian ketika musim sambutan besar seperti Hari Kebangsaan atau isu politik panas. Akibatnya, naratif yang membina identiti nasional tidak hadir secara konsisten dalam kehidupan digital mereka. Lama-kelamaan, minat terhadap topik kenegaraan semakin menurun dan pemahaman tentang identiti nasional menjadi longgar.

Namun, tidak adil untuk mengatakan belia sudah hilang rasa cinta kepada negara. Generasi muda masih mempunyai semangat patriotik tetapi cara membina nilai itu berbeza berbanding dahulu.

Golongan muda mahukan naratif yang jujur, lebih realistik dan mencerminkan pengalaman mereka. Masalahnya bukan kurangnya nilai dalam diri mereka, tetapi kurangnya pendedahan kepada kandungan patriotik yang relevan dalam dunia digital.

Oleh itu, isu sebenar bukanlah belia yang kurang patriotik tetapi ruang digital yang gagal menyediakan keseimbangan maklumat. Selagi sistem algoritma lebih mengutamakan kandungan sensasi, maka topik kenegaraan yang memerlukan refleksi mendalam akan terus tenggelam.

Mengharapkan penyelesaian melalui pengawalan kandungan semata-mata bukanlah langkah terbaik. Sebaliknya, belia perlu diperkasa dengan literasi AI supaya memahami maklumat yang muncul di skrin bukan gambaran penuh realiti tetapi hasil pilihan algoritma.

Kesedaran ini boleh menggalakkan mereka meneroka kandungan yang lebih seimbang dan pelbagai.

Institusi pendidikan dan agensi kerajaan pula perlu bergerak seiring dengan budaya digital generasi muda. Kandungan patriotik boleh dipersembahkan melalui bentuk kreatif, ringan tetapi bermakna tanpa mengorbankan nilai.

Belia tidak menolak patriotisme sebaliknya tidak menerima pendekatan lama yang tidak sesuai lagi.

Dalam masa sama, sektor teknologi perlu bertanggungjawab membina sistem saranan yang lebih telus dan beretika. Malaysia sudah pun memperkenalkan dasar AI berteraskan prinsip Rukun Negara dan ia harus diperluas untuk memastikan algoritma menyokong pembinaan masyarakat yang bersatu serta berpandangan jauh.

Akhirnya, kita perlu menerima patriotisme era digital bukan lagi sekadar hafalan fakta sejarah atau menghadiri upacara rasmi. Patriotisme moden lahir melalui kemampuan menilai maklumat secara kritis, memahami pelbagai naratif dan mengambil bahagian dalam perbincangan tentang masa hadapan negara.

Belia Malaysia mampu menjadi generasi yang lebih matang dan progresif, asalkan mereka berada dalam ruang digital yang sihat dan seimbang. – UTUSAN

DR. AL-AMRIL OTHMAN
Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×