APAKAH Parti Amanah Negara (Amanah) masih relevan?
Pertanyaan ini menuntut Amanah membuktikan perjuangannya bukan sekadar wacana tetapi sebuah gerakan yang hidup, progresif dan terus diperlukan dalam landskap mencabar politik negara.
Dalam suasana politik yang penuh persaingan, Amanah tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya mesti tampil sebagai pembawa suara nurani dan nilai rakyat.
Dalam ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2025, Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan keperluan memperkukuh arah dan identiti parti.
Beliau berkata, Malaysia semakin dihormati di pentas dunia melalui pendirian tegas terhadap keamanan, khususnya dalam isu Palestin. Justeru, Amanah perlu memperkuatkan jenama politik Islam progresif, membina akar umbi yang lebih padu dan melahirkan barisan kepimpinan baharu yang berwibawa.
Ucapan tersebut menandakan kesedaran Amanah tidak boleh lagi bergantung pada nostalgia perjuangan masa lalu. Parti ini perlu bergerak dengan wajah dan naratif baharu yang menampilkan keunikannya sendiri.
Amanah tidak boleh hanya bergantung kekuatan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya mesti memperlihatkan warna politiknya yang jelas iaitu politik nilai, bukan politik kuasa.
Di bawah kepimpinan Datuk Aiman Athirah Sabu selaku Ketua Wanita Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) suara wanita dalam Amanah semakin tegas menuntut pembaharuan.
Dalam Konvensyen AWAN Nasional 2025, beliau menegaskan wanita bukan sekadar pelengkap tetapi peneraju perubahan dalam membina Malaysia Madani yang progresif dan inklusif.
Kenyataan itu menggariskan arah ke hadapan yang lebih segar dan berpaksikan nilai Islam yang rahmah serta memberi ruang lebih luas kepada wanita dan anak muda untuk memimpin.
Namun, perjalanan pembaharuan ini bukan tanpa cabaran. Seorang perwakilan dari Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir, mengingatkan parti tentang kelemahan hubungan strategik apabila menegur ketiadaan rakan parti dalam konvensyen.
Teguran itu membawa mesej jelas Amanah harus memperkukuh kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, bukan sekadar sebagai penyokong tetapi sebagai jambatan Islamik yang penting dalam membina dasar negara.
Rakyat Malaysia semakin menuntut kepimpinan yang bukan hanya lincah berpidato tetapi mampu melaksanakan perubahan. Mereka mahu pemimpin yang turun padang, memahami isu moral, keadilan sosial, kos sara hidup, ekonomi rakyat dan pendidikan anak muda.
Amanah memiliki kekuatan ideologi yang unik iaitu Islam yang membebaskan, mendamaikan dan membina. Jika nilai ini diterjemahkan ke dalam dasar, parti ini mampu kembali ke tengah denyut nadi rakyat. Namun, kepimpinan parti mesti berani menilai kelemahan sendiri sebelum rakyat berbuat demikian di kotak undi.
Dalam satu perbahasan usul, seorang perwakilan wanita dari Johor mengingatkan menjadi sebahagian daripada kerajaan bukan alasan untuk pasif. Amanah perlu tampil sebagai pembina dasar. Rakyat mahu melihat agenda jelas dalam isu harga barang, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesejahteraan sosial.
Kini adalah masa untuk Amanah menunjukkan keberanian baharu termasuk untuk berubah, mendengar dan memimpin.
Jika Amanah terus mengangkat roh Islam rahmah dengan strategi komunikasi yang jelas dan kepimpinan yang rendah hati tetapi tegas prinsipnya, kepercayaan rakyat dapat dipupuk semula.
Amanah mesti tampil sebagai suara hati rakyat yang mendambakan politik penyelesaian dan politik nilai.
Kepada rakyat Malaysia, jika anda mencari wadah politik yang membawa Islam yang seimbang, manusiawi dan berpaksikan nilai, Amanah adalah ruang itu. Perjuangan ini bukan mengenai kuasa tetapi mengenai nilai.-UTUSAN
ATRIZA UMAR
Calon Ijazah Kedoktoran, Kepimpinan Wanita










