PERANAN Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pengawal selia kewangan amat penting dalam memastikan kestabilan ekonomi dan integriti sistem kewangan.
Antara isu utama ialah rasuah dan penggubahan wang haram, yang bukan sahaja menjejaskan imej negara tetapi juga keyakinan pelabur. Cadangan menukar wang baharu dilihat sebagai langkah strategik untuk menjejaki dan memerangkap penjenayah kewangan.
Beberapa negara, seperti India pada 2016, pernah menukar wang kertas denominasi besar untuk membanteras simpanan haram. Langkah ini memaksa pemegang wang tunai dalam jumlah besar mengisytiharkan sumber kewangan dan kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada siasatan atau pelucutan wang.
Strategi ini turut mengurangkan pengedaran wang haram dalam ekonomi gelap kerana sindiket jenayah terpaksa memindahkan dana ke institusi kewangan rasmi membolehkan pihak berkuasa menjejaki transaksi mencurigakan.
Pelaksanaan penukaran wang baharu memerlukan persediaan rapi. Kerjasama dengan bank, syarikat dan rakyat penting agar golongan berpendapatan rendah dan warga emas tidak terbeban. Kempen penerangan menyeluruh juga perlu dijalankan.
Selain itu, wang baharu boleh dilengkapi ciri keselamatan canggih seperti nombor siri digital atau cip elektronik, memudahkan pemantauan aliran wang besar.
Dalam konteks membanteras rasuah, langkah ini menggugat ‘ekonomi tunai’ kerana wang hasil sogokan perlu ditukar di bank dan boleh disiasat.
Walaupun terdapat risiko ketidakpuasan rakyat, manfaat jangka panjang lebih besar. Strategi ini membersihkan sistem kewangan, menutup ruang sindiket jenayah dan mengembalikan keyakinan antarabangsa. Ia selari dengan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus dan integriti.
Kesimpulannya, menukar wang baharu adalah langkah berani dengan asas kukuh yang boleh memerangkap penjenayah kewangan dan membina Malaysia lebih bersih dan telus.-UTUSAN
ANIQ SYAFI
Multimedia University, Cyberjaya










