Tenggelamnya Perkara 152, nasionalisme perlahan-lahan luntur

Tenggelamnya Perkara 152, nasionalisme perlahan-lahan luntur

PERKARA 152 seharusnya menjadi nadi identiti Malaysia dengan bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi jiwa yang menyatukan bangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA menyangka bahasa Melayu masih utuh tetapi sebenarnya rohnya sudah mulai luntur dalam keranda nasionalisme yang kita bina sendiri.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar angka tetapi jiwa kebangsaan kita. Namun hari ini, jiwa itu semakin tenggelam dalam lautan hipokrasi.

Bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi nafas identiti kebangsaan kini hanya tinggal rangka kata-kata tanpa roh, disimpan dalam keranda faham kebangsaan yang sempit.

Perkara 152 seharusnya menjadi nyawa kepada identiti Malaysia. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi jiwa yang menyatukan kita sebagai bangsa.

Namun, apa terjadi hari ini? Bahasa Melayu semakin menjadi ‘bahasa kiasan majlis rasmi’ yang hadir dalam upacara tetapi tenggelam dalam jiwa.

Kita masih menggunakan bahasa Melayu di papan tanda, dalam ucapan rasmi dan dalam dokumen kerajaan tetapi adakah bahasa itu masih bernyawa? Atau sudah menjadi seperti patung palsu, terpelihara bentuknya tetapi kosong isinya?

Kenyataan seorang Menteri Kanan yang mempertikaikan penggunaan bahasa Melayu boleh dijadikan rujukan hari ini. Ada yang menjadi alpa dibuai kuasa, pangkat dan kedudukan. Ia sudah menjadi ugutan kepada media dan penggunaan bahasa Melayu dalam kerangka kenegaraan.

Yang menyedihkan, ramai yang bersorak mempertahankan bahasa Melayu di media sosial tetapi dalam kehidupan seharian, mereka lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa asing.

Inilah nasionalisme palsu iaitu mempertahankan bahasa di ruang awam tetapi membiarkannya mati di ruang peribadi.

Bahasa Melayu semakin kehilangan ‘roh’ kerana kita mengorbankannya di meja rundingan, dalam dunia korporat dan dalam sistem pendidikan.

Kita bangga dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan tetapi malu menggunakannya dalam wacana intelek dan teknologi.

Bahasa yang hebat lahir daripada budaya yang hidup. Namun kita sibuk ‘mengabadikan’ budaya ini dalam khazanah muzium.

Bahasa Melayu moden semakin kehilangan identiti, tersepit antara bahasa pasar yang terlalu rendah dengan bahasa kayangan yang terlalu tinggi.

Di manakah bahasa pertengahan yang menjadi jiwa bangsa? Bahasa yang mampu menyampaikan ilmu tinggi tetapi tetap akrab dengan rakyat? Bahasa yang menjadi teman sejati dalam suka dan duka?

Jiwa 152 perlu dibangkitkan. Ia bukan dengan demonstrasi atau kontroversi. Kita perlu:

– Menghidupkan kembali roh bahasa dalam pendidikan. Jadikan bahasa Melayu sebagai alat berfikir bukan sekadar subjek untuk lulus peperiksaan.
– Membebaskan bahasa dari politik. Bahasa jangan dijadikan modal murah untuk meraih sokongan. Ia adalah pelindung identiti dan tatanegara.
– Mencipta ruang untuk bahasa bernafas dalam sains, teknologi, falsafah dan kesusasteraan kontemporari.

Bahasa yang bernyawa adalah memberikan jiwa dan emosi jujur. Perkara 152 bukan keranda untuk kita usung-usungkan. Ia adalah jiwa yang perlu kita hidupkan dalam setiap nafas dalam kelas, pejabat, rumah dan dalam hati.

Bahasa Melayu tidak memerlukan pembelaan yang sentimental. Ia memerlukan kehidupan yang bermakna. Biarlah bahasa ini terus bernafas, berkembang dan menjadi jiwa kepada bangsa yang sedang membangun.

Jangan biarkan Perkara 152 menjadi angka semata-mata, sedangkan jiwanya sudah kita kapan. Semoga jiwa 152 terus hidup dalam setiap jiwa dan dalam diri warga yang bangga menjadi warga Malaysia, tanah air ini.-UTUSAN

 

PROFESOR DATUK DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN