KEBELAKANGAN ini, negara digemparkan dengan kejadian tragis melibatkan pembunuhan pelajar di sebuah sekolah menengah. Insiden seperti ini bukan sekadar isu disiplin tetapi cerminan krisis kesihatan mental yang semakin meruncing dalam kalangan remaja.
Gejala buli, keganasan dan tingkah laku agresif yang semakin kerap dilaporkan menunjukkan tekanan emosi remaja berada pada tahap membimbangkan berpunca daripada masalah keluarga, tekanan sosial dan kurangnya sokongan psikososial di peringkat sekolah serta masyarakat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada tujuh remaja berusia 10 hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan gangguan tingkah laku.
Dalam konteks Malaysia, kes pelajar menikam rakan sekolah perlu dilihat sebagai amaran jelas tentang kegagalan sistem mengenal pasti tekanan emosi yang dialami remaja. Tanpa intervensi awal, remaja yang tertekan berisiko bertindak di luar jangkaan sama ada mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Kajian menunjukkan banyak remaja yang berdepan tekanan mental berasal daripada keluarga bermasalah sama ada disebabkan konflik rumah tangga, keibubapaan yang lemah atau kekurangan perhatian dan kasih sayang.
Sudah tiba masanya Malaysia menempatkan ahli psikologi pendidikan di sekolah sebagai langkah pengesanan awal dan intervensi profesional kepada pelajar berisiko.
Peranan ahli psikologi sekolah melangkaui fungsi kaunselor tradisional. Mereka boleh menjalankan penilaian psikologi sistematik terhadap pelajar yang menunjukkan tanda-tanda gangguan emosi atau trauma, memberi intervensi awal melalui bimbingan dan program sokongan serta bekerjasama dengan guru dan ibu bapa untuk membentuk persekitaran pembelajaran yang sihat.
Ahli psikologi juga dapat membantu membangunkan polisi pengurusan konflik, pembentukan empati dan kesejahteraan mental di sekolah.
Selain itu, mereka boleh memperkukuh hubungan antara sekolah dan keluarga melalui sesi pendidikan keibubapaan dan intervensi berfokus keluarga. Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja menangani simptom tetapi juga punca kepada masalah emosi pelajar.
Oleh itu, penempatan graduan sarjana psikologi di sekolah bukan sekadar ‘menambah staf’ tetapi strategi pencegahan yang menyeluruh dan berimpak besar terhadap kesejahteraan pelajar serta keharmonian sekolah. Seperti kata pepatah, ‘jangan sudah terantuk baru tengadah’.
Universiti tempatan seperti Universiti Malaya melahirkan ramai graduan psikologi pendidikan yang berkaliber dan wajar diberi ruang dalam sistem sekolah. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mempertimbangkan beberapa langkah strategik seperti:
– Menubuhkan jawatan rasmi ahli psikologi sekolah dengan nisbah penempatan minimum. Contohnya seorang bagi setiap 500 pelajar.
– Menawarkan laluan kerjaya dan insentif yang menarik agar lebih ramai lulusan psikologi memilih untuk berkhidmat di sekolah.
– Membangunkan sistem pengesanan awal risiko kesihatan mental di sekolah dengan ahli psikologi sebagai penyelaras utama.
– Mengukuhkan kerjasama antara sekolah, keluarga dan komuniti termasuk bengkel dan program sokongan emosi bersama ibu bapa.
Dengan sistem sokongan psikologi yang mantap, kejadian ekstrem seperti keganasan pelajar dapat dicegah lebih awal. Kesihatan mental bukan lagi isu sampingan tetapi keperluan asas dalam membina generasi yang seimbang dari segi emosi dan intelektual. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. FONNY DAMEATY HUTAGALUNG
Pengarah Pusat Penyelidikan
dan Pembangunan Keluarga,
Universiti Malaya










