PERTUBUHAN IKRAM Malaysia (IKRAM) menzahirkan keprihatinan dengan situasi perang saudara yang meletus di Sudan sejak April 2023, antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) yang dipimpin Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) diketuai Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti).
IKRAM mengecam sekeras-kerasnya peperangan ini, yang mengakibatkan krisis kemanusiaan terburuk dunia yang mengorbankan puluhan ribu nyawa, jutaan rakyat kehilangan tempat tinggal, kekurangan keperluan asas, sistem kesihatan yang hampir lumpuh, insiden kekejaman dan genosid, serta kegagalan usaha damai.
IKRAM menggesa semua pihak yang berkonflik (RSF dan Angkatan Tentera) agar segera melaksanakan gencatan senjata dan menghentikan pertempuran serta-merta untuk membolehkan penghantaran bantuan dan laluan selamat bagi orang awam.
IKRAM turut menggesa agar kerajaan Malaysia untuk mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menangani krisis ini di peringkat antarabangsa (PBB) dan juga menggunakan platform OIC untuk mendesak gencatan senjata, menghentikan peperangan serta memulihkan keadaan di Sudan, termasuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan.
IKRAM juga menuntut pihak yang berperang membenarkan organisasi kemanusiaan menyalurkan bantuan segera, termasuk bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat yang terjejas. Sementara masyarakat antarabangsa dapat memberikan perhatian global yang lebih kepada krisis Sudan dan menyalurkan dana mencukupi dalam menghadapi krisis ini.
IKRAM menuntut supaya rundingan damai yang inklusif antara SAF dan RSF diteruskan semula dengan melibatkan pihak berkepentingan awam, politik dan etnik Sudan yang lain. Matlamatnya untuk mencapai penyelesaian politik yang membawa peralihan pemerintahan awam yang demokratik.
Dengan usaha-usaha ini, IKRAM mendoakan agar perang saudara dan krisis kemanusiaan di Sudan menemui titik penghujung dan mencapai solusi yang sebaiknya dalam menyegerakan bantuan dan mencapai keamanan.-UTUSAN
BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia










