Pemimpin cerminan akhlak, maruah bangsa, negara

Pemimpin cerminan akhlak, maruah bangsa, negara

JADILAH pemimpin yang memimpin dengan akhlak kerana hanya melalui akhlak yang mulia, maruah bangsa dapat diselamatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMIMPIN perlu kembali kepada asas iaitu akhlak, adab dan teladan. Pemimpin mesti sedar setiap perbuatan mereka, sama ada di dalam atau luar dewan adalah cerminan kepada maruah negara. Mereka harus menjaga bahasa ketika berhujah, mengawal emosi ketika berbeza pendapat dan menunjukkan rasa hormat kepada lawan politik walaupun pandangan berbeza.

Dalam Islam, akhlak yang baik adalah tanda kecerdikan, bukan kelemahan. Menjadi pemimpin bukan sekadar memegang jawatan tetapi memikul tanggungjawab moral untuk membentuk budaya dan nilai dalam masyarakat.

Dalam menangani isu buli dan jenayah pelajar, pemimpin perlu menunjukkan ketegasan yang disertai dengan kebijaksanaan. Hukuman semata-mata tidak mencukupi tanpa bimbingan nilai. Kita perlukan pendekatan yang menekankan pemulihan dan pendidikan moral, bukan sekadar menghukum.

Kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa mesti digerakkan untuk membentuk sistem sokongan moral yang kukuh. Tetapi sekali lagi, usaha ini hanya akan berjaya jika pemimpin menunjukkan contoh melalui perilaku mereka sendiri.

Krisis akhlak pelajar bukan bermula di sekolah tetapi di rumah, di media dan di Parlimen. Bila pemimpin hilang adab, masyarakat akan hilang pedoman. Kita boleh membina ribuan sekolah cemerlang, melatih ribuan guru berwibawa tetapi semua itu akan sia-sia jika anak-anak terus melihat pemimpin mereka sebagai contoh buruk dalam adab dan budi.

Sudah sampai masanya pemimpin berhenti memperbodohkan rakyat dengan permainan politik dan mula mendidik dengan akhlak serta kejujuran. Rakyat tidak meminta kesempurnaan tetapi keteladanan. Anak-anak tidak perlukan ceramah moral, mereka perlukan contoh hidup.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memperkenalkan gagasan Kepimpinan Melalui Teladan. Slogan itu bukan sekadar ungkapan politik tetapi falsafah yang sangat mendalam. Ia mengingatkan kita bahawa kepimpinan yang sejati lahir daripada contoh, bukan kata-kata.

Jika pemimpin mahu melihat rakyat berdisiplin, mereka mesti menunjukkan disiplin. Jika mahu rakyat berakhlak, mereka sendiri mesti berakhlak. Hakikatnya slogan ini makin dilupakan akibat dari ego politik yang semakin menebal.

Sudah tiba masanya pemimpin di negara ini berhenti mencari alasan dan mula menunjukkan teladan. Jangan lagi memperbodohkan rakyat dengan drama politik yang tiada kesudahan. Sampai bila rakyat mahi dikorbankan demi kerakusan untuk berkuasa. Bangunkan semula nilai hormat, tanggungjawab, dan amanah.

Jadilah pemimpin yang memimpin dengan akhlak, kerana hanya melalui akhlak yang mulia, maruah bangsa dapat diselamatkan. Seperti kata Tun Mahathir, kepimpinan melalui teladan adalah asas kejayaan sesebuah negara. Dan jika pemimpin benar-benar memahami makna itu, maka masa depan anak-anak kita masih punya cahaya.

Apa yang anak-anak kita lihat hari ini, itulah yang mereka akan ulang esok. Jika yang mereka lihat ialah pertengkaran, kebiadaban dan ketamakan kuasa, maka itulah yang akan mereka warisi. Tetapi jika mereka melihat kepimpinan yang berakhlak, berhemah dan berhujah dengan adab, maka bangsa ini masih punya harapan. Maka, wahai para pemimpin, sebelum menuding jari kepada generasi muda yang hilang arah, lihatlah dulu ke dalam cermin dan marilah kita hayati kembali kepimpinan melalui teladan.-UTUSAN

AZMAN M. HASHIM
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN