Pelajar bukannya robot

Pelajar bukannya robot

TERDAPAT banyak subjek dan mata pelajaran sedia ada yang boleh digunakan untuk mendidik para pelajar mengenai sesuatu isu semasa yang sering dibangkitkan oleh masyarakat dalam negara kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENJAK akhir-akhir ini terdapat banyak cadangan dikemukakan oleh sesetengah pihak bagi memperkenalkan pelbagai jenis subjek atau kursus baharu bagi pelajar kita mengikutinya.

Subjek atau kursus yang ingin dicadangkan semenjak kebelakangan ini banyak melibatkan isu semasa seperti rasuah, proses pilihan raya, agama, moral dan lain-lain lagi.

Walaupun cadangan yang diberikan kelihatan menarik serta dapat menambah ilmu para pelajar kita mengenai sesuatu isu, namun ia perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum ia dilaksanakan.

Kita tidak mahu melihat para pelajar kita yang berada di sekolah ataupun di institusi pengajian tinggi (IPT) merasa terbeban untuk mengikuti subjek dan kursus sedia ada serta subjek atau kursus baharu yang bakal diperkenalkan kelak.

Kita juga tidak mahu pelajar kita hadapi tekanan emosi dan mental untuk mempelajari banyak subjek atau kursus.

Tekanan emosi dan mental boleh membawa kesan yang buruk kepada para pelajar khususnya kesan terhadap aspek kesihatan mereka.

Oleh itu, segala usaha yang ingin diambil bagi mendidik para pelajar kita perlulah realistik dan tidak membawa beban atau tekanan jangka panjang kepada para pelajar.

Persoalan kini harus dilontarkan kepada semua pihak, adakah kita ingin terus membebankan pelajar kita dengan mempelajari semua perkara yang gagal dihayati oleh orang dewasa? Sekiranya kita ingin memperkenalkan subjek atau kursus baharu, kita seharusnya meminta semua orang dewasa dalam negara mempelajarinya dan bukannya meminta pelajar kita yang berada di sekolah ataupun IPT mempelajarinya kerana banyak isu ataupun masalah sosial dan jenayah yang berlaku di negara kita melibatkan dan dilakukan oleh orang dewasa dan bukannya golongan belia dan masih bersekolah.

Kita harus bersikap lebih realistik dalam perkara ini kerana amat mustahil untuk para pelajar di peringkat sekolah ataupun di peringkat IPT mempelajari segala isu yang berkaitan dengan semua jenis isu atau masalah sosial ataupun jenayah yang berlaku di serata dunia di dalam kelas ataupun dewan kuliah. Mereka adalah manusia biasa dan bukannya robot.

Kesian juga kepada para guru ataupun pensyarah yang sudah pun terbeban dengan pelbagai jenis tugas hakiki dan tanggungjawab sedia ada dalam sekolah dan IPT sekiranya ramai pihak dalam negara kita asyik berterusan mencadangkan pelbagai jenis subjek atau kursus baharu diperkenalkan untuk para pelajar.

Daripada asyik sibuk mencadangkan pelbagai jenis subjek ataupun kursus baharu untuk diperkenalkan dan dipelajari kepada para pelajar, adalah lebih baik isu-isu yang dibangkitkan diselitkan atau dimasukkan ke dalam mana-mana subjek atau kursus yang sudah ada pada masa kini.

Terdapat banyak subjek dan mata pelajaran sedia ada yang boleh digunakan untuk mendidik para pelajar mengenai sesuatu isu semasa yang sering dibangkitkan oleh masyarakat dalam negara kita.

Langkah ini dilihat bukan sahaja dapat mengurangkan beban yang terpaksa dilalui oleh para pelajar malah dapat menyelesaikan juga masalah berbangkit seperti masalah beg sekolah yang berat yang sering dilaporkan berlaku dalam negara kita serta masalah tekanan emosi dan mental yang dihadapi oleh para pelajar akibat daripada terpaksa mengambil dan mempelajari terlalu banyak subjek atau kursus. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN