PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) merupakan organisasi antarabangsa kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sebagai wadah diplomatik utama bagi dunia Islam, OIC memainkan peranan penting dalam menyatukan suara negara-negara Islam berdepan isu-isu kemanusiaan dan keselamatan global. Dalam konteks konflik Palestin, OIC menjadi antara organisasi antarabangsa yang lantang menentang penindasan rejim Zionis.
Melalui pelbagai persidangan luar biasa dan kenyataan bersama, OIC mengutuk keras tindakan keganasan, penempatan haram serta pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Sebagai contoh, ketika insiden Global Sumud Flotilla, sekumpulan aktivis kemanusiaan yang membawa bantuan ke Gaza ditahan oleh rejim Israel. Tindakan kejam tersebut mengundang kutukan keras daripada OIC dan PBB, yang menuntut agar Israel mematuhi undang-undang antarabangsa.
OIC juga segera mengeluarkan kenyataan rasmi apabila tragedi pembunuhan beramai-ramai di Beit Lahiya, Gaza, yang meragut lebih 70 nyawa. Persatuan itu mengecam jenayah tersebut dan mendesak campur tangan antarabangsa.
Selain itu, OIC turut membantah pelanggaran serius terhadap tapak suci umat Islam seperti Masjid Ibrahimi di Hebron. Pertubuhan itu menyeru Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan provokasi dan melindungi Tapak Warisan Dunia tersebut. Semua tindakan ini menggambarkan keprihatinan OIC terhadap penjagaan maruah serta warisan Islam sejagat.
Namun begitu, peranan besar OIC sering dibatasi oleh realiti geopolitik dunia moden. Walaupun menjadi organisasi kedua terbesar selepas PBB, OIC tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan terhadap resolusi yang dipersetujui dalam sidang-sidangnya.
Kebanyakan keputusan hanya bersifat deklaratif dan perlu dibawa ke peringkat PBB untuk dipertimbangkan semula. Kekangan ini menyebabkan banyak resolusi yang digubal gagal diterjemahkan kepada tindakan konkrit di lapangan.
Sebagai contoh, isu Palestin hampir tidak pernah lekang daripada agenda OIC sejak penubuhannya. Persidangan demi persidangan dijalankan, namun hasilnya sering terbatas kepada kenyataan bersama tanpa tindakan yang benar-benar efektif.
Ketika Perhimpunan Agung PBB pada 12 September 2025, sebanyak 142 negara mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, namun usul penyelesaian dua negara tetap terbatal akibat kuasa veto yang digunakan oleh negara-negara berpengaruh yang menyokong Israel. Keadaan ini memperlihatkan betapa keterikatan OIC terhadap sistem antarabangsa yang dikuasai kuasa besar membataskan keupayaannya untuk bertindak bebas.
Selain itu, perbezaan ideologi, kepentingan ekonomi dan politik dalaman negara anggota turut menjadi cabaran besar kepada perpaduan dalam OIC. Tidak semua negara Islam mempunyai pendirian seragam terhadap sesuatu isu, menyebabkan suara kolektif kadangkala kedengaran lemah dan tidak bersepadu.
Usaha OIC dalam menyatukan negara-negara Islam dan membawa isu-isu ummah ke forum global tidak boleh dipandang remeh.-UTUSAN
Muhammad Azhar Khairunnas Robin
Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya










