Mungkinkah dunia terlalu pantas untuk Generasi Z?

Mungkinkah dunia terlalu pantas untuk Generasi Z?

GENERASI Z bukan generasi lemah sebaliknya mereka dibentuk oleh persekitaran berbeza daripada generasi sebelumnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, perbincangan mengenai Generasi Z (Gen Z), semakin hangat. Mereka sering dilabel sebagai manja, cepat putus asa dan kurang daya tahan dalam menghadapi cabaran di universiti, tempat kerja atau komuniti.

Namun sebelum terus menghakimi, kita perlu bertanya, adakah benar mereka tidak mampu menyesuaikan diri atau dunia kini yang berubah terlalu pantas untuk sesiapa pun menangani?

Gen Z membesar dalam persekitaran digital sepenuhnya. Peranti pintar, internet dan media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan sejak kecil. Mereka belajar, bersosial dan berhibur melalui skrin. Interaksi fizikal yang dulunya menjadi latihan semula jadi untuk kemahiran sosial kini semakin terhad. Tidak hairanlah jika mereka kelihatan janggal dalam situasi bersemuka, khususnya di tempat kerja atau persekitaran formal lain.

Zaman kanak-kanak yang dahulu penuh dengan aktiviti luar dan permainan berkumpulan kini digantikan dengan dunia maya yang lebih terkawal. Kanak-kanak belajar empati, sabar dan kompromi melalui pengalaman sosial sebenar.

Ramai dalam kalangan Gen Z membesar dalam ruang yang selamat tetapi terasing menyebabkan kemahiran sosial seperti memahami emosi orang lain, menyesuaikan diri dalam kumpulan atau berkomunikasi dengan yakin tidak terbentuk secara semula jadi.

Gaya keibubapaan masa kini turut memberi kesan besar. Pendekatan terlalu melindungi bertujuan memastikan anak selamat dan berjaya, namun secara tidak langsung menghalang mereka belajar dari kegagalan kecil atau membuat keputusan sendiri. Anak-anak yang diurus sepenuhnya oleh ibu bapa sering kehilangan keupayaan berdikari dan menyesuaikan diri apabila berhadapan cabaran sebenar.

Kesan ini jelas apabila mereka meningkat dewasa. Ramai yang cemerlang akademik tetapi mudah cemas, kurang yakin dan cenderung mengelak situasi tidak selesa.

Tambahan pula, pengalaman pandemik Covid-19 membentuk corak sosial generasi ini. Pada tempoh penting perkembangan sosial, mereka hidup dalam dunia terasing apabila sekolah, universiti dan aktiviti sosial berlaku secara dalam talian. Hubungan dibina melalui skrin, bukan tatapan atau sentuhan. Apabila dunia kembali normal, ramai merasa canggung dan tidak pasti menyesuaikan diri semula.

Namun Gen Z juga mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka lebih terbuka terhadap kepelbagaian, peka terhadap isu sosial, cepat menyesuaikan diri dengan teknologi dan kreatif. Apa yang mereka perlukan hanyalah bimbingan untuk mengimbangi kecekapan digital dengan kematangan sosial.

Dalam konteks kerja dan pendidikan, pendekatan lama mungkin tidak lagi sesuai. Majikan dan pendidik perlu memahami generasi ini menghargai komunikasi terbuka, maklum balas segera dan ruang untuk menyuarakan pandangan.

Mereka bukan menolak disiplin tetapi mencari hubungan yang lebih autentik dan saling menghormati. Dengan pendekatan empatik, mereka mampu menunjukkan potensi sebenar.

Dunia Gen Z kini lebih kompleks dengan isu kesihatan mental, tekanan sosial media dan ketidaktentuan ekonomi memberi kesan terus kepada kesejahteraan mereka. Generasi ini tidak perlukan label negatif sebaliknya beri ruang untuk belajar, gagal dan bangkit semula.

Gen Z bukan generasi lemah. Mereka dibentuk oleh persekitaran berbeza daripada generasi sebelumnya. Dunia bergerak pantas dan cabaran sosial lebih kompleks. Cara mereka menyesuaikan diri juga berbeza.

Kita perlu memahami konteks mereka, bukan menilai dengan ukuran lama. Mungkin sudah tiba masanya untuk bertanya, adakah kita menyediakan ruang dan peluang cukup untuk mereka belajar menyesuaikan diri?

Mereka cerminan dunia yang kita bina, jika mahu mereka kuat dan matang, kita perlu mula membentuk persekitaran mendidik, bukan menghukum.-UTUSAN

 

DR. SYARIFAH MAISARAH SYED ALWI
Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×