CADANGAN untuk mengembalikan kuasa merotan kepada guru yang disuarakan oleh beberapa pihak baru-baru ini merupakan satu langkah penting dalam menangani krisis adab dan disiplin pelajar yang semakin membimbangkan. Langkah ini, jika dilaksanakan dengan berhemah dan berpandukan prinsip pendidikan Islam, boleh menjadi mekanisme mendidik yang membentuk keperibadian pelajar dengan lebih berkesan.
Kanak-kanak di bawah usia 10 tahun pula tidak wajar dirotan, sebaliknya dididik melalui nasihat dan peringatan. Prinsip ini sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang menyuruh ibu bapa mendidik anak bersolat ketika berumur tujuh tahun, dan hanya boleh dirotan jika masih enggan melakukannya pada usia 10 tahun. Baginda SAW juga pernah menganjurkan agar rotan digantung di rumah sebagai simbol peringatan dan disiplin, bukan alat mendera, tetapi tanda tanggungjawab dalam mendidik.
Amalan ini jelas menunjukkan bahawa Islam tidak menolak hukuman fizikal secara mutlak, tetapi menggariskan adab, batas dan tujuan yang jelas. Sekiranya panduan ini diikuti, hukuman rotan bukan sahaja tidak bercanggah dengan nilai kemanusiaan, malah berfungsi sebagai pendekatan pendidikan yang berakar pada kasih sayang dan tanggungjawab moral.
Namun begitu, pelaksanaan semula kuasa merotan perlu disertai garis panduan yang tegas serta latihan kepada guru bagi memastikan tindakan ini dijalankan secara beretika. Kementerian Pendidikan wajar memperkenalkan kod etika merotan yang berpaksikan prinsip mendidik, bukan menghukum.
Dalam suasana masyarakat moden yang semakin menolak disiplin fizikal, keberanian untuk menilai semula dasar ini bukanlah langkah mundur, tetapi usaha memulihkan semangat pendidikan yang berpaksikan nilai moral, agama dan budaya tempatan. Kita tidak boleh terus meniru bulat-bulat pendekatan Barat yang sering menafikan dimensi rohani dalam pembentukan insan.
Mengembalikan kuasa merotan bukanlah mengundang kekerasan, tetapi menghidupkan kembali prinsip pendidikan berasaskan kasih sayang dan tanggungjawab. Jika dilakukan dengan penuh hikmah, ia dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga beradab, berdisiplin dan berjiwa besar. – UTUSAN
DR. MOHD. MOKHTAR MUHAMAD
Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia










