MALAYSIA bakal melakar sejarah baharu dalam pembangunan maritim global menerusi penganjuran Forum Ekonomi Biru Dunia Sultan Mizan 2026 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Forum berprestij ini dianjurkan oleh Pusat Kemajuan Ekonomi Biru Universiti Malaysia Terengganu (UMT BEACON) dengan kerjasama WBEF Sdn. Bhd. dan Synapze Sdn. Bhd.
Majlis pelancaran logo rasmi disempurnakan oleh Sultanah Nur Zahirah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-23, menandakan permulaan kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi biru. Ia merupakan sektor yang kini menyumbang hampir 23 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Inisiatif ini juga sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) (2026–2030) yang menekankan pertumbuhan berasaskan sumber lautan secara mampan melalui inovasi teknologi dan kerjasama pelbagai sektor.
Bertemakan ‘Melakar Haluan Malaysia ke Arah Horizon Biru Global’, forum ini menghimpunkan pemimpin dunia, pembuat dasar, ahli akademik dan industri bagi membincangkan agenda ekonomi biru melalui sesi plenari, panel dan pameran teknologi selama tiga hari.
Lima bidang strategik utama akan diberi tumpuan:
-Pengangkutan dan infrastruktur maritim mampan ke arah dekarbonisasi dan pendigitalan.
-Keselamatan makanan dan inovasi akuakultur berasaskan bioteknologi marin.
-Kesihatan lautan dan teknologi iklim termasuk tenaga boleh diperbaharui marin dan ekonomi kitaran.
-Pameran teknologi biru terkini mempamerkan robotik marin, kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan pembangunan pesisir pintar.
-Tadbir Urus dan Diplomasi Laut Serantau yang memperkukuh kerjasama ASEAN dan Asia Pasifik.
Forum ini turut mendapat penghormatan dengan penglibatan Gunter Pauli, tokoh global dikenali sebagai Bapa Ekonomi Biru, sebagai Penasihat Terhormat.
Majlis perasmian rasmi akan disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dengan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan komitmen tinggi institusi diraja dan kerajaan terhadap pembangunan ekonomi laut lestari.
Forum ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri maritim mampan, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti pesisir. Ia turut menawarkan kategori penyertaan eksklusif seperti Berlian, Platinum, Emas, Perak dan Pameran Standard, bagi organisasi dalam sektor maritim, tenaga, kewangan dan teknologi yang ingin menyertai transformasi ekonomi biru Malaysia menuju horizon global.-UTUSAN
PEJABAT KOMUNIKASI KORPORAT
Universiti Malaysia Terengganu










