Malaysia perlu pimpin diplomasi kemanusiaan Global Sumud Flotilla

Malaysia perlu pimpin diplomasi kemanusiaan Global Sumud Flotilla

MALAYSIA perlu melangkah lebih jauh melalui tindakan diplomatik dan strategik yang berkesan supaya misi Sumud Flotilla diiktiraf secara sah menurut undang-undang antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GLOBAL Sumud Flotilla bukan sekadar konvoi kapal membawa ubat dan makanan ke Gaza tetapi simbol keteguhan umat dunia menentang kezaliman Israel.

Konvoi ini cuba memberitahu dunia tidak boleh berdiam diri membiarkan sekatan laut berlarutan hingga berjuta rakyat Palestin terus menderita.

Dalam konteks ini, Malaysia yang konsisten memperjuangkan isu Palestin perlu melangkah lebih jauh melalui tindakan diplomatik dan strategik yang berkesan.

Pertama, kerajaan wajar memanfaatkan kuasa diplomatiknya. Melalui Wisma Putra, Malaysia boleh menghantar nota rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Turkiye dan Mesir bagi mengiktiraf Sumud Flotilla sebagai misi kemanusiaan sah menurut undang-undang antarabangsa.

Malaysia juga boleh menggesa PBB menempatkan pemerhati antarabangsa di perairan Mediterranean bagi menjamin keselamatan Flotilla, manakala penyertaan rakyat Malaysia boleh diperkukuh dengan dokumen perjalanan diplomatik khas.

Kedua, Malaysia perlu membina pakatan lebih luas. Sebagai ahli aktif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN, Malaysia boleh mendesak kedua-dua blok ini supaya mengiktiraf Flotilla sebagai koridor kemanusiaan rasmi. Jika disokong secara terbuka oleh negara Islam dan jiran serantau, tekanan politik terhadap Israel akan meningkat dan sukar bagi mereka menuduh Flotilla sebagai provokasi politik.

Ketiga, Malaysia boleh menyumbang secara teknikal melalui penyewaan kapal berbendera Malaysia serta menempatkan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai pemerhati tidak bersenjata. Kehadiran rasmi ini akan meningkatkan kos diplomatik terhadap Israel sekiranya berlaku serangan.

Dalam masa sama, Malaysia perlu berunding dengan Mesir, Turkiye dan Qatar untuk mewujudkan koridor kemanusiaan alternatif dan perjanjian tripartite bagi memastikan bantuan sampai ke Gaza.

Di peringkat global, Malaysia boleh mengetuai inisiatif diplomatik dengan mengusulkan resolusi khas Kebebasan Navigasi untuk Bantuan Kemanusiaan ke Gaza dalam Perhimpunan Agung PBB.

Walaupun tidak mengikat, langkah ini memberi tekanan moral kepada kuasa besar. Malaysia juga boleh menjadi hab media antarabangsa bagi liputan Flotilla, sekali gus menonjolkan kepimpinan moralnya.

Langkah-langkah ini bukan sahaja melindungi Flotilla tetapi mengangkat imej Malaysia sebagai negara Muslim berprinsip yang berani memimpin perjuangan kemanusiaan sejagat selain membuktikan solidariti terhadap Palestin bukan sekadar laungan tetapi tindakan nyata.-UTUSAN

NADIA ABDUL RASHID
Alam Impian,
Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×