SAYA ingin menarik perhatian pihak berkenaan terhadap masalah yang sedang dihadapi pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Mereka yang terdiri daripada 97 orang pelajar merupakan kumpulan pertama pengambilan sesi 2004/2005, di bawah Fakulti Kecerdasan Buatan UTM yang ditubuhkan atas inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah ke hadapan dalam bidang teknologi maklumat dan inovasi negara.
Di sebalik kegembiraan kerana dipilih menjadi kumpulan perintis untuk mengikuti kursus ini, sedikit kedukaan timbul apabila program sepenting ini tidak tersenarai dalam mana-mana skim pembiayaan sama ada melalui biasiswa, dermasiswa mahupun pinjaman melalui agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Anak saya bersama rakan-rakan sudah beberapa kali mencuba memohon bantuan kewangan tetapi ditolak atas alasan program AI yang diikuti tidak berada dalam senarai tajaan agensi terbabit.
Keadaan ini membebankan sebahagian ibu bapa, khususnya bagi yang berpendapatan sederhana. Saya sendiri merupakan pesara kerajaan yang masih menanggung anak-anak lain yang masih bersekolah dan juga sedang menuntut di universiti.
Saya amat berharap pihak berkaitan terutamanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), JPA dan Mara dapat meneliti semula dasar pembiayaan pelajaran agar program baharu seperti AI turut diiktiraf dan layak mendapat bantuan kewangan.
Ini penting bagi memastikan pelajar berbakat tidak terhalang daripada menuntut ilmu hanya kerana kekangan kewangan.
Semoga pihak berwajib dapat mengambil perhatian dan pertimbangan sewajarnya terhadap isu ini demi masa hadapan anak-anak dan kemajuan negara.-UTUSAN
BAPA PERIHATIN
Alor Setar,
Kedah










