PUTRAJAYA Festival of Ideas 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 8 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), merupakan platform utama bagi menggabungkan idea, inovasi dan pemikiran strategik.
Bertemakan ‘MADANI: Shaping the Future, Realising Ideas’, festival ini menekankan pembaharuan ilmu dan kreativiti yang seiring dengan hasrat Malaysia membentuk masyarakat berfikir tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangunan negara perlu berasaskan nilai-nilai madani bagi melahirkan insan berilmu dan berakhlak.
Oleh itu, festival ini bukan hanya sebuah acara akademik tetapi juga satu platform untuk membentuk minda beretika serta memacu kesejahteraan sosial.
Festival ini menganjurkan pelbagai acara berimpak tinggi, termasuk Dialog bersama Pemimpin Pelajar Malaysia dan Antarabangsa, Forum Alumni Global, Forum Perkongsian & Biasiswa dan International Students Got Talent. Pelancaran aplikasi MyAlumni dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) membuka ruang bagi perkongsian strategik antara universiti dan industri global.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Mujādilah: 11 menegaskan pentingnya ilmu, dan festival ini berfungsi sebagai wadah jihad intelektual untuk mengangkat martabat ilmu dalam kerangka keagamaan dan kemanusiaan.
Konsep Malaysia Madani berakar pada nilai keadilan, tanggungjawab, belas kasihan dan inovasi. Prinsip ini selaras dengan Maqasid al-Syariah yang menuntut pembangunan manusia seimbang antara akal, jasad dan rohani.
Nilai daya cipta yang ditekankan sejalan dengan tuntutan ijtihad dalam Islam, di mana setiap penyelesaian baru harus menepati hukum syarak.
Pembangunan ilmu dan teknologi harus berlandaskan ibadah, bukan sekadar keuntungan duniawi. Sebagaimana sabda Nabi SAW, ilmu yang bermanfaat akan menjadi amal soleh yang berterusan. Oleh itu, setiap idea dan inovasi dalam festival ini perlu dilihat dari sudut nilai ihsan dan manfaat sosial, bukan hanya potensi ekonomi.
Festival ini turut menonjolkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat, seperti teknologi, keselamatan, dan kebajikan sosial. Ini mencerminkan nilai maslahah ‘ammah dalam Islam, yang melindungi akal dan nyawa.
Seperti sabda Nabi SAW, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”
Inovasi yang merugikan manusia atau merosakkan alam adalah bertentangan dengan prinsip syariah.
Putrajaya Festival of Ideas 2025 bukan sekadar perhimpunan ilmiah tetapi juga merupakan pembudayaan ilmu yang berintegriti. Semangat keilmuan harus diterjemahkan dalam tindakan nyata, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah: 105 yang menyeru untuk mengaplikasikan ilmu dengan amal dan sumbangan.
Oleh itu, setiap penyelidik, pelajar dan profesional harus menjadikan festival ini sebagai medan untuk menyumbang idea yang menggabungkan pemikiran, spiritual dan kebajikan.
Universiti, institusi penyelidikan dan industri memainkan peranan penting dalam memperkukuh budaya ilmu berasaskan nilai.
Inovasi yang tidak beretika boleh membawa kemusnahan, sedangkan inovasi yang dilandaskan pada iman akan membawa keberkatan.
Keberhasilan festival ini bukan hanya terletak pada pentas wacana tetapi pada sejauh mana ia melahirkan generasi yang berfikir secara kritis, berakhlak mulia dan memberi sumbangan kepada kesejahteraan sejagat.
Inilah manifestasi sebenar Malaysia Madani, di mana ilmu menjadi cahaya, inovasi sebagai amal dan nilai sebagai tunjang kemajuan ummah.-UTUSAN
PROF. MADYA DR. AZRI BHARI & DR. NIK AIRIN AQMAR NIK AZHAR
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










