KEBELAKANGAN ini terdapat banyak kes keganasan yang melibatkan kematian dilaporkan media massa.
Dari keganasan domestik hingga keganasan negara, ketidakadilan dan penderitaan yang ditanggung mangsa menyebabkan kesan jangka masa panjang yang mendalam pada individu dan komuniti.
Isu keganasan di peringkat negara seperti yang berlaku di Palestin sering mendapat tumpuan masyarakat dan media massa, namun begitu isu keganasan domestik yang berlaku di Malaysia juga harus diberikan tumpuan dan tindakan segera.
Bentuk keganasan yang paling ketara dan sering berlaku di Malaysia adalah domestik dan berasaskan gender.
Sebagai contoh, hampir setiap hari laporan keganasan rumah tangga yang dilaporkan sekali gus mencatatkan peningkatan kes setiap tahun.
Seterusnya, keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak juga masih menjadi masalah utama di Malaysia. Menurut dapatan daripada UN Women, sekitar satu daripada tiga wanita di Malaysia mengalami keganasan fizikal atau seksual. Ini menunjukkan kaum wanita masih terdedah dengan ancaman keganasan.
Keganasan memberikan kesan jangka masa panjang dan mendalam bukan sahaja kepada mangsa tetapi turut dirasai ahli keluarga, masyarakat setempat dan negara secara amnya.
Dari sudut psikologi, mangsa keganasan akan mengalami trauma yang kritikal, gangguan mental dan cenderung mengalami masalah kesihatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), keganasan memberikan implikasi negatif terhadap kesihatan seperti kemurungan, gangguan kebimbangan dan gangguan tidur.
Bukan itu sahaja, keganasan juga memberikan kesan terhadap ekonomi. Hal ini kerana, negara perlu menanggung beban kos yang tinggi untuk menangani isu keganasan seperti kos perubatan, bantuan sokongan kepada mangsa dan kos penguatkuasaan undang-undang.
Menurut laporan Bank Dunia, isu keganasan domestik dan keganasan berasaskan gender berpotensi menelan kos lebih daripada 1.5 trilion dolar setahun di peringkat global iaitu bersamaan dengan 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
Bagi memastikan isu keganasan dapat ditangani, tindakan tegas perlu diambil kerajaan, pihak berkuasa, masyarakat dan individu dengan melaksanakan undang-undang lebih ketat dan penguatkuasaan efektif.
Kesedaran dalam kalangan masyarakat juga perlu dipertingkatkan untuk mengawal dan mengurangkan kes keganasan.
Program pendidikan mengenai kesamarataan gender dan hak asasi manusia, serta cara untuk mengatasi konflik tanpa menggunakan keganasan perlu ditingkatkan selain diperluaskan di semua peringkat umur dan institusi pendidikan.
Dalam pada itu, sistem sokongan terhadap mangsa keganasan juga harus dipertingkatkan dengan cara menyediakan lebih banyak tempat perlindungan dan sokongan untuk mangsa keganasan, terutamanya wanita dan kanak-kanak.
Oleh itu, talian bantuan seperti Talian Kasih 15999 perlu dipromosikan secara meluas bukan sahaja menerusi laman web rasmi kerajaan, malah perlu diuar-uarkan melalui platform media sosial.
Usaha ini penting bagi membantu pihak berwajib untuk membantu individu khususnya golongan muda yang menjadi mangsa keganasan.
Hentikan keganasan bukan sahaja tentang menangkap dan menghukum pelaku tetapi usaha melahirkan masyarakat yang adil serta bertanggungjawab.-UTUSAN
MUHAMMAD SYAKIR IDRIS
Pensyarah
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang,
Kampus Raub










