Hentikan diskaun saman trafik

Hentikan diskaun saman trafik

PENDEKATAN memberi saman diskaun bukan sahaja menghakis penghormatan terhadap undang-undang tetapi keselamatan jalan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menghentikan dengan serta-merta amalan menawarkan diskaun terhadap saman trafik, termasuk diskaun 70 peratus terhadap saman yang diumumkan baru-baru ini dari 1 November hingga 30 Disember 2025.

Tawaran itu menjadikan undang-undang sebagai persendaan dan menjejaskan kredibiliti agensi penguatkuasaan. Tindakan ini hanya menyebabkan pihak berkuasa dipandang seperti menghantar mesej bahaya bahawa melanggar undang-undang hanya membawa akibat yang sedikit dan pesalah boleh menunggu pusingan diskaun seterusnya untuk menjelaskan bayaran dengan sebahagian kecil daripada penalti asal.

Pendekatan ini bukan sahaja menghakis penghormatan terhadap undang-undang tetapi juga menjejaskan keselamatan jalan raya. Peraturan lalu lintas wujud untuk melindungi nyawa, mencegah kemalangan dan menggalakkan pemanduan yang bertanggungjawab.

Menawarkan kelonggaran berkala bercanggah dengan matlamat ini dan mengurangkan kesan penghalang penguatkuasaan. Pemandu yang mematuhi undang-undang dan membayar saman dengan segera dilayan secara tidak adil apabila pesalah biasa diberi ganjaran diskaun.

Tindakan ini juga memupuk budaya tidak bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya. CAP menggesa kerajaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dengan memastikan hukuman dikenakan secara adil dan konsisten.

Tumpuan perlu diberikan kepada penguatkuasaan yang lebih berkesan, pendidikan keselamatan jalan raya dan kutipan denda segera, bukan menawarkan diskaun yang meremehkan kesalahan.

CAP sekali lagi mengulangi undang-undang jalan raya mestilah dihormati dan dikuatkuasakan secara seragam.

Kerajaan mesti menghentikan amalan tidak produktif ini dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap integriti sistem perundangan dan penguatkuasaan negara.

Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mestilah menumpukan kepada pengukuhan penguatkuasaan dan mengambil tindakan segera terhadap pesalah.-UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN