SETIAP tahun, Sabtu minggu kedua Oktober menyaksikan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) secara serentak di seluruh Malaysia.
Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini bukan sekadar acara tahunan tetapi gerakan nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan, sejajar dengan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) dan prinsip Malaysia Madani, yang menekankan kesejahteraan, nilai murni dan perpaduan masyarakat melalui sukan.
Diperkenalkan pada 2015, HSN mengambil inspirasi daripada program kebangsaan seperti Hari Sukan National di Jepun, Korea Selatan dan Australia. Objektif utamanya adalah menjadikan aktiviti fizikal sebagai budaya hidup rakyat, selaras dengan kebimbangan terhadap gaya hidup sedentari dan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan obesiti.
Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 menunjukkan lebih 50 peratus rakyat Malaysia dewasa tidak aktif, manakala kadar obesiti mencecah 30.4 peratus, antara yang tertinggi di Asia Tenggara.
Bertemakan ‘Malaysia Aktif’, HSN 2025 menekankan kesihatan dan perpaduan sosial melalui aktiviti seperti larian santai, kayuhan santai, senamrobik, explorace sukan rakyat serta program berunsur perpaduan di seluruh negara.
Di Negeri Sembilan, program seperti Senam Harmoni, Aerobicthon, larian santai 5 kilometer (km) dan Bicara Perpaduan melibatkan peserta dari semua peringkat umur termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), sambil memupuk interaksi sosial dan inklusiviti.
Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal tetapi wahana pembentukan nilai kemanusiaan.
Teori Sosiologi Sukan (Coakley, 2009) menekankan fungsi sukan sebagai alat sosialisasi, medium rekreasi dan instrumen perpaduan sosial.
Dalam konteks Malaysia berbilang kaum, sukan menjadi ‘bahasa universal’ yang menyatukan rakyat tanpa mengira etnik, agama atau status sosial.
Melalui aktiviti berpasukan, individu belajar disiplin, komunikasi, toleransi dan semangat bekerjasama. Nilai ini sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
HSN juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui industri pakaian sukan, peralatan kecergasan, logistik, pelancongan domestik dan pelancongan sukan dengan sumbangan melebihi RM1.5 bilion pada 2024.
Platform kolaboratif ini melibatkan sektor swasta, universiti dan pihak berkuasa tempatan (PBT), sejajar dengan Rangka Industri Sukan Negara 2022–2030.
Namun, cabaran tetap wujud, termasuk kekangan masa, akses kemudahan sukan luar bandar yang terhad dan minat belia yang menurun akibat pengaruh digitalisasi.
Penyelesaian memerlukan pendekatan menyeluruh merentas kementerian dan agensi tempatan termasuk pengukuhan pendidikan jasmani, pengembangan program komuniti dan peningkatan infrastruktur awam.
HSN 2025 menjadi simbol kebangkitan budaya kesihatan dan perpaduan baharu. Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal tetapi refleksi identiti nasional, mencerminkan semangat gigih, keharmonian dan daya tahan rakyat Malaysia.
Ia memanggil setiap warganegara untuk mengubah gaya hidup, memperkukuh kesihatan diri dan menyumbang kepada pembinaan negara bangsa yang kuat, bersatu dan progresif ke arah aspirasi Malaysia sebagai negara bersukan sebenar.-UTUSAN
PUTERI AMNAH SAMSUL
& NURUL NISHA MOHD. SHAH,
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau









