Guru sokong reformasi, bina murid berjiwa

Guru sokong reformasi, bina murid berjiwa

Malaysia berjaya mencatat pencapaian terbaik dalam domain Penulisan bagi Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyatakan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam mendukung dan melaksanakan dasar serta polisi yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya berkenaan dengan pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

KGMMB percaya setiap dasar pendidikan yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk memperkasa sistem pendidikan negara dan meningkatkan kualiti pembelajaran murid secara menyeluruh.

Sehubungan itu, KGMMB akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan pelaksanaan UASA berjalan lancar di peringkat sekolah, selaras dengan aspirasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menekankan pembangunan holistik murid.

KGMMB juga bersedia untuk bekerjasama rapat dengan pihak KPM dalam memperkukuh pelaksanaan dasar ini melalui sokongan profesional kepada warga pendidik.

KGMMB berpandangan sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan keperluan semasa dan masa hadapan, bukan kembali kepada pendekatan lama yang terlalu menekankan peperiksaan sebagai ukuran tunggal kecemerlangan murid.

Kami menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), dan Kurikulum 2027 yang menekankan pembelajaran holistik, kemahiran insaniah, dan pembangunan sahsiah murid secara menyeluruh.

KGMMB juga ingin menegaskan  ketiadaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)  bukanlah punca utama kemerosotan motivasi atau prestasi pelajar. Sebaliknya, cabaran sebenar terletak pada pelaksanaan pentaksiran alternatif yang masih memerlukan pemantapan dari segi kefahaman guru, latihan profesional dan sokongan pentadbiran.

Justeru, usaha memperkukuh pelaksanaan PBD dan memperkasa guru dalam menjalankan pentaksiran formatif secara berkesan adalah lebih penting daripada menghidupkan semula peperiksaan lama.

KGMMB percaya pendidikan moden harus melahirkan murid yang mampu berfikir, berinovasi dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat. Dunia hari ini tidak lagi menilai manusia berdasarkan markah semata-mata tetapi berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah, berkomunikasi, dan berkolaborasi.

Kami menyeru semua pihak termasuk pembuat dasar, ibu bapa dan masyarakat agar memberi kepercayaan kepada guru dan sistem pendidikan baharu ini.

Marilah kita bersama-sama membina generasi yang bukan sahaja cemerlang di atas kertas, tetapi juga berjiwa, berakhlak, dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

Pendidikan bukan sekadar peperiksaan, tetapi proses membina insan.

 

SOBRI YUSUF

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN